Pemuda UMNO minta PM tidak tunduk desakan Hua Zhong

Mustafa Shah Abdul Hamid
Mustafa Shah Abdul Hamid
A
A
A

SHAH ALAM - Pemuda UMNO meminta Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin untuk tidak tunduk kepada desakan Gabungan Pertubuhan Cina Malaysia (Hua Zhong) berhubung pengiktirafan Sijil Peperiksaan Bersepadu (UEC).

Exconya, Mustafa Shah Abdul Hamid berkata, kerajaan tidak perlu ditarik dalam polemik yang hanya menguntungkan pihak tertentu saja sedangkan Dasar Pendidikan Kebangsaan sudah pun jelas.

"Saya tertarik dengan kenyataan Perdana Menteri Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung 'pengiktirafan sebahagian' UEC yang sememangnya menjadi polemik sejak sekian lama.

"Pertama, kita minta supaya Perdana Menteri tidak tunduk kepada desakan kumpulan pendesak badan bukan kerajaan (NGO) Cina yang mahukan kerajaan mengiktiraf UEC," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Menurutnya, UEC adalah satu sistem pendidikan yang bercanggah dengan Dasar Pendidikan Kebangsaan.

"Pengiktirafan terhadap UEC umpama mencabuli Perlembagaan negara yang meletakkan kedudukan bahasa Melayu sebagai bahasa utama negara serta Dasar Pendidikan Kebangsaan," katanya.

Beliau berkata, tumpuan seharusnya diberikan kepada usaha memperkasakan Dasar Pendidikan Kebangsaan dan memartabatkan lagi bahasa Melayu sebagai bahasa kebangsaan serta meningkatkan penguasaan bahasa Inggeris di kalangan pelajar.

"Bahkan hari ini masih ramai di kalangan ahli Parlimen kita yang gagal berkomunikasi dengan baik dalam bahasa kebangsaan. Ada ahli Parlimen yang mahu menyebut perkataan 'rangsangan' pun tidak pandai.

Artikel Berkaitan:

"Jadi isu bahasa kebangsaan ini adalah jauh lebih penting jika dibandingkan dengan UEC. Oleh itu, kerajaan diminta supaya tidak melayan karenah kumpulan pendesak berkenaan," katanya.