Pemancing ditemui mati terapung dengan kesan jerut

Anggota bomba ketika mengeluarkan mayat mangsa yang ditemui terapung di sebuah lombong di Kampung Baru Kanthan, hari ini.
Anggota bomba ketika mengeluarkan mayat mangsa yang ditemui terapung di sebuah lombong di Kampung Baru Kanthan, hari ini.
A
A
A
IPOH - Mayat seorang lelaki ditemui terapung dipercayai dibunuh di sebuah lombong berhampiran Kawasan Industri Kanthan, Kampung Baru Kanthan di sini, hari ini.

Mangsa dikenali sebagai Muhammad Azizul Roslan, 24, tidak pulang ke rumah selepas dipercayai keluar memancing di kawasan itu sejak semalam.

Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Mohd Ali Tamby berkata, pihaknya menerima laporan berhubung penemuan mayat mangsa yang berasal dari Trosor, Sungai Siput itu kira-kira jam 12.30 tengah hari.

Berdasarkan keterangan bapanya, mangsa keluar dari rumah kira-kira jam 1.30 petang semalam untuk pergi memancing. Sehingga jam 3 pagi, bapanya menyedari mangsa masih belum pulang ke rumah.

“Hari ini, bapa mangsa mula mencari mangsa di kawasan lombong itu dengan bantuan anggota Balai Polis Kanthan Bharu dapat mengesan motosikal mangsa. Selepas diteliti, dapati mayat mangsa berada di bawah semak kolam dengan hanya kaki mangsa kelihatan,” katanya.

Menurutnya, pihaknya percaya mangsa dibunuh apabila terdapat kesan jerut di leher.

“Selain itu, mangsa mengalami kecederaan di bahagian mata kiri, lebam pipi kiri dan kesan luka di telinga kiri.

“Hasil pemeriksaan mendapati kawasan kolam itu tidak berpagar dan terbuka manakala joran pancing mangsa didapati dipatahkan. Mayat mangsa dijumpai dalam jarak empat meter dari tebing kolam,” katanya.

Mohd Ali berkata, tiada sebarang senjata ditemui di lokasi kejadian dan tiada saksi yang melihat kejadian setakat ini berikutan kawasan kolam tersebut sunyi tidak berpenghuni.

Artikel Berkaitan:

“Mayat dibawa ke Jabatan Forensik, Hospital Raja Permaisuri Bainun untuk bedah siasat yang akan dijalankan esok,” katanya.