Kapal tangki langgar tebing berjaya ditarik keluar

Kapal tangki MT MIDAS yang melanggar tebing darat dan terkandas berhampiran Taman Rekreasi Madani Esplanade Wing berjaya ditarik keluar dari kawasan kejadian pada Selasa.
Kapal tangki MT MIDAS yang melanggar tebing darat dan terkandas berhampiran Taman Rekreasi Madani Esplanade Wing berjaya ditarik keluar dari kawasan kejadian pada Selasa.
A
A
A

LUMUT - Kapal tangki MT MIDAS yang melanggar tebing darat dan terkandas berhampiran Taman Rekreasi Madani Esplanade Wing di sini berjaya ditarik keluar dari kawasan kejadian pada Selasa.

Jabatan Laut Malaysia (JLM) memaklumkan, kapal berkenaan kini berlabuh di perairan berhadapan Tanjung Batu Agas di sini sejak awal pagi.

Menurutnya, sebuah bot tunda turut ditempatkan dalam keadaan siap siaga di lokasi kapal berlabuh sebagai langkah berjaga-jaga sekiranya memerlukan bantuan kecemasan.

"JLM telah melantik pegawai penyiasat kemalangan kapal bagi menjalankan siasatan berhubung insiden tersebut termasuk meneliti faktor yang menyumbang kepada kejadian serta aspek keselamatan dan pematuhan peraturan pelayaran yang berkuat kuasa.

"Pelantikan tersebut merupakan sebahagian daripada tanggungjawab JLM dalam memastikan setiap insiden kemalangan perkapalan disiasat secara teratur dan menyeluruh bagi mengenal pasti punca kejadian serta langkah penambahbaikan keselamatan yang bersesuaian," katanya dalam satu kenyataan pada Selasa.

Sementara itu, JLM melalui Jabatan Laut Wilayah Malaysia Utara turut memberi perhatian terhadap aspek keselamatan pelayaran, pergerakan kapal dalam had pelabuhan serta pematuhan kepada peraturan maritim.

JLM memandang serius sebarang pengoperasian atau pergerakan kapal tanpa kebenaran sewajarnya, khususnya apabila melibatkan risiko terhadap keselamatan pelayaran, kemudahan awam dan persekitaran marin.

Sehubungan itu, siasatan akan diteruskan bagi mengenal pasti punca kejadian, manakala sebarang tindakan lanjut akan ditentukan berdasarkan hasil siasatan serta peruntukan undang-undang yang berkuat kuasa.

Menurut kenyataan itu, pemeriksaan awal yang dijalankan bersama Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia turut mendapati tiada sebarang tumpahan minyak atau pencemaran marin dikesan di lokasi kejadian.

Artikel Berkaitan:

Semalam, polis mengesahkan kejadian sebuah kapal besar dipercayai merempuh kawasan tebing berhampiran laluan pejalan kaki di Taman Rekreasi Madani Esplanade Wing di sini selepas kejadian tersebut tular di laman sosial, kira-kira jam 9.50 pagi.

Rakaman video yang tersebar memaparkan kapal berkenaan berada terlalu hampir dengan kawasan daratan sehingga menyebabkan sebahagian struktur tebing rosak dan pecah.

Ketua Polis Daerah Manjung, Asisten Komisioner Hasbullah Abd Rahman berkata, siasatan awal mendapati kapal yang membawa 10 kru warga Thailand itu sebelum ini dikenali sebagai Fuji.

Beliau berkata, kapal berkenaan dipercayai bertukar pemilikan kepada pemilik baharu dari Thailand sebelum didaftarkan semula dengan nama Midas di negara itu.

Kapal tangki berkenaan dilaporkan tidak membawa muatan dan dipercayai sedang menjalani ujian pelayaran laut atau sea trial tanpa kebenaran pihak berkuasa ketika kejadian.

Muat turun aplikasi Sinar Harian. Klik di sini!