Rasuah polis: Penganggur diarah jalani pemeriksaan psikiatri

Tertuduh diarah menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama sebulan, bermula hari ini.
Tertuduh diarah menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama sebulan, bermula hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang penganggur diarah menjalani pemeriksaan psikiatri di Hospital Bahagia Ulu Kinta, Perak selama sebulan selepas mengaku tidak bersalah atas pertuduhan memberi suapan kepada seorang anggota polis pertengahan Julai lalu.

Perintah itu dikeluarkan Hakim Mahkamah Sesyen Ipoh, S Indra Nehru terhadap tertuduh, R Lingeswaren, 37.

Tertuduh yang sudah berkahwin didakwa secara rasuah memberi suapan iaitu wang tunai berjumlah RM350 kepada Sarjan Som Nek Euat yang bertugas di Bahagian Penguatkuasaan Trafik Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Taiping sebagai dorongan tidak mengambil tindakan undang-undang ke atasnya.

Kesalahan itu dilakukan di sekitar Jalan Tupai dalam daerah Taiping kira-kira jam 9.20 malam, 13 Julai 2020.

Bagi kesalahan itu, tertuduh didakwa di bawah Seksyen 17 (b) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang jika disabitkan kesalahan boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin manakala tertuduh tidak diwakili peguam.

Terdahulu, Nurul Wahida memohon mahkamah tidak menawarkan sebarang jaminan kerana tertuduh dikatakan mempunyai masalah psikiatri.

Mahkamah kemudiannya mengarahkan tertuduh menjalani pemeriksaan psikiatri selama sebulan bermula hari ini dan menetapkan 19 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.

Artikel Berkaitan: