X

Kindly register in order to view this article
!

Penyakit jantung kekal pembunuh utama Malaysia

Gambar hiasan
A
A

KUALA LUMPUR - Penyakit jantung kekal sebagai penyebab utama kematian rakyat Malaysia bagi tempoh 13 tahun iaitu dari 2005 hingga 2017, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Boon Chye berkata, penyakit tidak berjangkit seperti diabetes, hipertensi, obesiti, pemakanan dan gaya hidup tidak sihat menyumbang kepada peningkatan penyakit jantung.

"Peningkatan kadar penuaan dalam kalangan penduduk negara juga menyumbang kepada pertambahan pesakit jantung dengan kadar hayat yang lebih lama dan memerlukan rawatan jantung berterusan.

"Menjelang 2040, dianggarkan populasi rakyat Malaysia dengan umur 65 tahun ke atas akan melebihi 6 juta, iaitu 14.5 peratus daripada populasi. Ini bermakna beban penyakit jantung koronari dijangka akan berlipat ganda dalam masa terdekat," katanya ketika berucap merasmikan Pusat Perkhidmatan Penjagaan Jantung Hospital Tung Shin, hari ini.

Boon Chye berkata, peningkatan kematian disebabkan penyakit itu juga semakin membimbangkan iaitu pertambahan 54 peratus dalam tempoh 10 tahun dengan 13,503 kematian pada 2017 berbanding 8,776 kematian pada 2007.

"Purata umur rakyat negara ini yang mendapat penyakit jantung adalah pada usia 58 tahun, iaitu lebih muda berbanding rakyat negara lain.

"Di Thailand, purata umur rakyat yang mendapat penyakit jantung adalah pada usia 65 tahun, Singapura (61 tahun); China (63 tahun); Amerika Syarikat (66 tahun) dan Kanada 68 tahun," katanya.

Dr Lee berkata sebanyak 141 kes bagi setiap 100,000 penduduk dianggarkan mendapat penyakit Jantung Koronari, menjadikan anggaran keseluruhan sebanyak 45,684 kes bagi 32.4 juta rakyat.

"Bagi Sindrom Koronari Akut (ACS) termasuk serangan jantung (AMI) adalah sebanyak 47.1 kes bagi setiap 100,000 penduduk, menjadikan anggaran 15,260 kes bagi keseluruhan rakyat dengan 75 peratusnya adalah terdiri daripada lelaki dan 25 peratus wanita," katanya.

Dalam perkembangan lain, Dr Lee berkata adalah tidak wajar sekiranya ibu bapa menganggap vaksin sebagai punca masalah kesihatan dalam kalangan kanak-kanak hingga menyebabkan kecacatan.

"Kami mempunyai bukti yang vaksin berkesan dan dapat mengelak daripada pelbagai penyakit seperti rubela, tibi (tuberkulosis) dan tetanus.

"Lebih 98 peratus populasi menerima vaksin manakala kurang dua peratus tidak menerima vaksin. Bagi ibu bapa yang masih meragui keberkesanan vaksin, mereka boleh tampil membuat aduan untuk kami lakukan siasatan. Sebenarnya banyak faktor lain yang menyumbang kepada masalah kesihatan kanak-kanak," katanya.

Semalam, Ketua Pengarah Kesihatan Datuk Dr Noor Hisham Abdullah menerusi kenyataan medianya menggesa ibu bapa supaya mematuhi Jadual Imunisasi Kebangsaan dan tidak mempercayai propaganda tidak benar mengenai keburukan vaksin seperti yang digembar-gemburkan di media sosial.

Menurutnya, bilangan kes penolakan vaksin yang direkodkan di klinik kerajaan terus meningkat daripada 637 kes pada 2013 kepada 1,603 kes pada 2016.

Bagaimanapun, katanya, terdapat sedikit penurunan kes penolakan vaksin pada 2017 iaitu kepada 1,404 kes berikutan usaha advokasi yang dijalankan kementerian itu bersama pelbagai pihak. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!