Dua jam setengah baca 34 pertuduhan menipu dua kakitangan UniSZA

Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas 34 pertuduhan menipu di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
Kedua-dua tertuduh mengaku tidak bersalah atas 34 pertuduhan menipu di Mahkamah Sesyen Kuala Terengganu hari ini.
A
A
A

KUALA TERENGGANU - Dua jurubahasa Mahkamah Sesyen di sini hari ini mengambil masa dua jam setengah bagi membaca 34 kertas pertuduhan menipu terhadap dua kakitangan Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA).

Kedua-dua tertuduh, Mohd Amir Hafizudin Zakaria, 31, dan Wan Saiful Kudri Che Wan Ahmad, 38, bagaimanapun mengaku tidak bersalah atas kesemua pertuduhan yang dibacakan secara bergilir-gilir dalam tempoh berkenaan.

Mengikut pertuduhan, kedua-dua tertuduh didakwa menipu Penolong Akauntan UniSZA, Zaipah Ramli dengan cara mengemukakan invois palsu bagi kerja-kerja membekal, memasang alat ganti dan menyelenggara kenderaan jabatan milik UniSZA berjumlah keseluruhan RM37,879.

Tertuduh, masing-masing memegang jawatan Pembantu Tadbir Kewangan dan Pembantu Akauntan didakwa melakukan kesemua kesalahan di bawah Seksyen 420 Kanun Keseksaan sekitar Oktober hingga Disember tahun lalu.

Jika sabit kesalahan, kedua-dua tertuduh boleh dikenakan hukuman penjara tidak lebih 10 tahun dan sebat.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Farah Yasmin Salleh di hadapan Hakim Jamaludin Mat.

Kedua-dua tertuduh masing-masing diwakili peguam bela, Nur Ain Mohd Rani dan Nik Mohd Radhia Nik Abd Ghani.

Kesemua tertuduh dibenarkan ikat jamin RM5,000 dengan seorang penjamin dengan menetapkan syarat melaporkan diri di pejabat SPRM setiap bulan selain perlu menyerahkan pasport antarabangsa kepada mahkamah.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 27 Ogos depan sebagai tarikh sebutan semula kes.