'Usul gugur jawatan Pengerusi Bersatu nafi hak Tun M'

Mohd Shaid Rosli
Mohd Shaid Rosli
A
A
A

SHAH ALAM - Tindakan mengemukakan usul bagi menggugurkan jawatan Pengerusi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) semasa perhimpunan parti itu September ini dilihat satu usaha untuk menafikan hak Tun Dr Mahathir Mohamad.

Ketua Bahagian Bersatu Kuala Selangor, Mohd Shaid Rosli berkata, ini kerana perkembangan perkara itu hanya akan diketahui selepas Mahkamah membuat keputusan berhubung saman dikemukakan oleh Dr Mahathir dan beberapa pimpinan lain susulan pembatalan keahlian mereka pada 7 Ogos depan.

Mohd Shaid berkata, sekiranya keputusan Mahkamah memihak kepada Mahathir, Ahli Parlimen Langkawi itu akan dapat mengekalkan jawatan Pengerusi secara sah dalam pemilihan parti kali ini.

"Namun jika sebaliknya, saya dimaklumkan penyokong Dr Mahathir akan mengambil keputusan untuk keluar parti.

"Jadi sebarang perkembangan parti atau spekulasi bagi menggugurkan jawatan Pengerusi Bersatu dalam pemilihan kali ini akan ditentukan selepas keputusan Mahkamah pada 7 Ogos nanti," katanya kepada Sinar Harian semalam.

Mohd Shaid yang juga merupakan bekas Bendahari Bersatu Selangor berkata demikian mengulas mengenai kenyataan Exco Angkatan Bersatu Anak Muda (Armada) Nasional, Muzzammil Ismail yang mengatakan terdapat desas-desus satu usul akan dikemukakan bagi membuang jawatan Pengerusi pada Persidangan Agung Bersatu, September ini.

Muzzammil berkata, ini adalah kerana pengguguran jawatan itu hanya boleh dilakukan melalui pindaan Perlembagaan parti.

Dalam perkembangan sama, Mohd Shaid turut membidas kenyataan dikeluarkan oleh Ahli Majlis Pimpinan Tertinggi (MPT) Bersatu, Dr Faiz Na'aman yang mengatakan terdapat lebih separuh calon pemilihan Bersatu kali ini dan ratusan ahli akar umbi bakal berdepan hukuman pemecatan.

Artikel Berkaitan:

"Kita tak tahu dari mana sumber dia dapat tapi kalau semua kena pecat, parti ini tinggal berapa kerat saja.

"Orang nak tengok parti makin lama, makin ramai ahli. Kalau nak tengok semua orang sokong, baik tak payah ada parti, baik tubuh badan bukan kerajaan (NGO) saja," katanya.

Tambah Mohd Shaid, Faiz perlu mengetahui tujuan sesebuah parti itu ditubuhkan dan ia bukan berperanan untuk kepentingan sesetengah golongan sahaja.

"Bila dah berkuasa dan asyik nak pecat orang saja, itu bukan menguruskan parti namanya. Dalam parti, demokrasi itu perkara biasa," katanya.

Menerusi kenyataannya kepada Sinar Harian sebelum ini, Faiz memaklumkan lebih separuh daripada keseluruhan 404 calon yang bertanding bagi beberapa jawatan tertinggi Parti Bersatu kini berdepan dengan tindakan dilucutkan keahlian serta-merta pada minggu hadapan.

Difahamkan, tindakan tegas itu diambil kerana mereka didapati terlibat dengan kumpulan ‘Blackout’ yang merupakan gerakan menjatuhkan parti dengan menjadi penyokong kuat kepada Dr Mahathir.