ICJ didakwa tidak faham maksud menteri

DR WAN SALIM
DR WAN SALIM
A
A
A

GEORGETOWN - Suruhanjaya Juri Antarabangsa (ICJ) gagal memahami maksud berhubung isu lesen penuh yang diberikan Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengambil tindakan terhadap golongan transgender.

Mufti Pulau Pinang, Datuk Seri Dr Wan Salim Wan Mohd Noor berkata, ICJ menerusi Pesuruhjayanya, Ambiga Sreenavasan sepatutnya faham bahawa di mana-mana sahaja, kebebasan diberikan tidak mutlak sebaliknya mesti diimbangi dengan tanggungjawab.

Malah, katanya, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Senator Datuk Seri Dr Zulkifli Mohamad Al-Bakri sebelum ini sudah menyatakan bahawa elemen tarbiah atau pendidikan terhadap golongan transgender yang akan ditekankan.

"Tidak perlu diperingatkan lagi bahawa Malaysia mengamalkan sistem pemerintahan demokrasi. Suara majoriti perlu dihormati dan diberi keutamaan dalam menentukan dasar yang mahu dilaksanakan kerajaan. Di samping itu, perlu memastikan golongan minoriti juga tidak dipinggirkan dan mendapat keadilan sepenuhnya tanpa sebarang diskriminasi.

"Golongan lesbian, gay, biseksual dan transgender (LGBT) seolah-olah mencabar perasaan majoriti rakyat negara ini dengan sikap dan kelakuan mereka yang menyimpang daripada agama dan tradisi yang dijunjung dan disanjung masyarakat secara umum," katanya kepada Sinar Harian.

Dalam satu kenyataan semalam, ICJ meminta Zulkifli untuk membatalkan arahan memberi lesen penuh kepada semua penguat kuasa Jawi untuk mengambil tindakan terhadap golongan transgender agar kembali ke pangkal jalan, bagaimanapun dengan cara paling berhemah.

Ambiga dalam kenyataan itu berkata, serangan bersifat transfobia dan homofobia daripada pegawai kerajaan tidak boleh diterima dan menunjukkan prasangka masyarakat dan kurangnya perlindungan undang-undang berkenaan diskriminasi yang dihadapi komuniti transgender.

Mengulas lanjut mengenai perkara itu, Dr Wan Salim berkata, perlu difahami bahawa tabiat manusia adalah berbeza-beza kerana ada yang mudah menerima nasihat dan kembali ke pangkal jalan selepas menyedari kesalahan yang dilakukan.

Artikel Berkaitan:

Bagaimanapun, katanya, ada juga yang degil tidak mahu kembali ke jalan yang benar walaupun menyedari dirinya menyeleweng daripada landasan fitrah kejadiannya yang asal.

"Maka menteri berkenaan menyerahkan kepada budi bicara pihak Jawi untuk mengambil tindakan yang sesuai ke atas golongan transgender atau LGBT sama ada mengikut saluran undang-undang sedia ada atau mengambil pendekatan mendidik bagi mereka yang diharap mudah menerima nasihat dan tunjuk ajar," katanya.