Buruh paksa: Top Glove sedang berunding dengan pihak berkuasa AS

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua dari kanan) mendengar taklimat ringkas yang disampaikan oleh Ketua Jabatan (Kejuruteraan) Sarel Ismail (kiri) semasa mengadakan lawatan ke kilang Texas Instruments Electronics Sdn Bhd dekat Batu Berendam hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan Texas Instruments Electronics Malaysia Sdn Bhd Subbah Rao (kanan). - Foto Bernama
Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mohamed Azmin Ali (dua dari kanan) mendengar taklimat ringkas yang disampaikan oleh Ketua Jabatan (Kejuruteraan) Sarel Ismail (kiri) semasa mengadakan lawatan ke kilang Texas Instruments Electronics Sdn Bhd dekat Batu Berendam hari ini. Turut hadir Pengarah Urusan Texas Instruments Electronics Malaysia Sdn Bhd Subbah Rao (kanan). - Foto Bernama
A
A
A

MELAKA - Isu berkaitan buruh paksa yang dihadapi syarikat tempatan, Top Glove Corporation Bhd (Top Glove), pengeluar sarung tangan getah terbesar dunia, akan diperjelaskan kepada pihak berkuasa Amerika Syarikat (AS) bagi memastikan eksport bekalan produk itu tidak terganggu ketika dunia sedang menghadapi pandemik koronavirus (Covid-19).

Menteri Kanan merangkap Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Seri Mohamed Azmin Ali berkata, rundingan dan perbincangan antara Top Glove dengan pihak AS yang menyekat import produk syarikat itu sedang berlangsung sekarang.

Beliau berkata, pihaknya berharap agar pihak pentadbiran AS dapat menilai isu membabitkan pekerja asing itu secara adil kerana syarikat itu memberikan sumbangan besar dalam menghadapi ancaman pandemik itu.

"Saya dimaklumkan pihak terlibat sedang berurusan dengan pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBPAS) untuk memberi penjelasan terhadap dakwaan terhadap Top Glove. Ia perlu dilakukan supaya tidak timbul dakwaan tidak berasas.

"Sebelum ini, sebuah syarikat tempatan hadapi masalah yang sama, selepas penjelasan diberikan, pihak berkuasa AS telah membenarkan semula barangan mereka dieksport ke AS," katanya kepada pemberita di sini, hari ini.

Terdahulu, Mohamed Azmin mengadakan lawatan ke dua kilang di Batu Berendam Free Trade Zone di sini iaitu Dominant Opto Technologies Sdn Bhd dan Texas Instruments Electronics Sdn Bhd.

Turut hadir Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri, Datuk Lim Ban Hong.

Baru-baru ini Top Glove mengeluarkan kenyataan bahawa pihak Kastam dan Perlindungan Sempadan Amerika Syarikat (CBPAS) telah mengeluarkan arahan sekatan semalam terhadap sarung tangan pakai buang yang dikeluarkan dua anak syarikatnya, Top Glove Sdn Bhd dan TG Medical Sdn Bhd.

Artikel Berkaitan:

Mohamed Azmin berkata, kerajaan Malaysia mahu industri pengeluaran sarung tangan getah dan produk perubatan lain negara ini tidak terganggu dalam tempoh pasca-Covid-19 ini, syarikat tempatan diminta terus beroperasi dalam memenuhi permintaan tinggi di seluruh dunia.

"Kerajaan telah beri kebenaran penuh untuk syarikat berkaitan perkhidmatan perubatan ini beroperasi ketika tempoh PKP (Perintah Kawalan Pergerakan) kerana terdapat permintaan bagi produk itu dari seluruh dunia supaya kita dapat tangani penularan Covid-19 ini.

"Jika ada isu, kita akan berbincang, kementerian akan memberi keyakinan kepada Top Glove agar menyambung semula eksport produk pengeluaran mereka," katanya. - Bernama