X

Kindly register in order to view this article
!

Pelancongan domestik dijangka bangkit lebih awal: Nancy

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri -Foto Bernama
A
A

KUALA LUMPUR - Segmen pelancongan domestik yang terjejas teruk akibat penularan pandemik koronavirus (Covid-19) dan penutupan sempadan negara serta negeri susulan pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) dijangka mampu bangkit lebih awal daripada jangkaan untuk kembali rancak.

Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya (Motac) Datuk Seri Nancy Shukri berkata, ia antara lain didorong faktor pematuhan tinggi rakyat terhadap prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan kerajaan.

"Kalau saya secara peribadi mula-mula saya terfikir mungkin pada Disember barulah kita boleh bangkit, tapi nampaknya kita boleh bangkit lebih awal kerana kita merupakan rakyat yang begitu mematuhi SOP.

"Jadi itu adalah antara jaminan bagi kita untuk memberanikan diri untuk bergerak (melancong) dan sama-sama kita memainkan peranan untuk mempertahankan SOP supaya kita berasa yakin untuk melancong dalam negara kita sendiri," katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita sebelum mengadakan lawatan ke beberapa tempat pelancongan utama sekitar ibu negara seperti di Dataran Merdeka, Taman Eko Rimba serta Muzium Diraja.

Dalam persidangan Dewan Rakyat minggu ini, Nancy berkata, sektor pelancongan negara dijangka mengalami kerugian sekitar RM45 bilion tahun ini susulan penularan pandemik Covid-19 yang meliputi RM31 bilion segmen pelancongan antarabangsa manakala selebihnya segmen domestik.

Pelaksanaan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) turut menyaksikan Motac melancarkan kempen Penyemarakan Semula Pelancongan Domestik sebagai langkah pemulihan sektor itu merangkumi beberapa langkah seperti Pelan Pemulihan Pelancongan dan Pelan Pemulihan Kebudayaan.

Nancy yang juga Ahli Parlimen Batang Sadong turut menjelaskan kekeliruan berhubung kenyataannya di Dewan Rakyat berhubung kadar tempahan hotel-hotel mula merekodkan kadar penghuninya yang tinggi sehingga 75 peratus.

Beliau menegaskan bahawa angka itu merujuk kepada hotel yang mempunyai daya tarikan tersendiri seperti di tepi pantai atau kawasan popular seperti Langkawi.

"Bagaimanapun secara puratanya tempahan hotel seluruh negara adalah pada kadar 21 hingga 30 peratus. Kita harap ini (melancong dalam negara) akan jadi satu trend dalam negara sebab ia akan membantu pengusaha kita dan mereka yang bekerja di hotel," katanya. - Bernama


Artikel ini ialah ©️ 2018 Hakcipta Terpelihara Kumpulan Karangkraf. Sebarang salinan tanpa kebenaran akan dikenakan tindakan undang-undang

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!