Bunuh isteri dan anak: Pemandu lori diarah bela diri

Satvender Singh (tengah) diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan membunuh isteri dan bayi perempuannya yang berusia tujuh bulan, empat tahun lepas. - Foto Bernama
Satvender Singh (tengah) diperintah membela diri oleh Mahkamah Tinggi Shah Alam atas pertuduhan membunuh isteri dan bayi perempuannya yang berusia tujuh bulan, empat tahun lepas. - Foto Bernama
A
A
A

SHAH ALAM - Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memerintahkan seorang pemandu lori membela diri terhadap pertuduhan membunuh isteri dan bayi perempuannya yang berusia tujuh bulan, empat tahun lepas.

Hakim, Datuk Mohd Yazid Mustafa dalam keputusannya berkata, pihak pendakwaan berjaya membuktikan kes prima facie terhadap Satvender Singh, 34, serta menetapkan 7 dan 8 September ini untuk perbicaraan.

Satvender didakwa membunuh D Kamaljit, 34, dan bayinya Ishilyn Kaur Sandhu antara 3.55 pagi dan 4.15 pagi di sebuah rumah teres dua tingkat di Taman Rawang Perdana 2, Rawang pada 14 April 2016.

Dia didituduh menurut Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman gantung sampai mati, jika sabit kesalahan.

Ketika membuat keputusan itu, hakim berkata, terdapat elemen-elemen penting yang berjaya dibuktikan pihak pendakwaan menerusi 16 saksi yang dipanggil memberi keterangan, antaranya penemuan asid deoksiribonukleik (DNA) milik tertuduh pada kuku mangsa (isteri).

Selain itu, pegawai penyiasat Polis Diraja Malaysia juga memberitahu tidak berlaku kejadian pecah rumah di tempat kejadian berdasarkan siasatan yang dilakukan, katanya.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Mahadhir Mohd Khairudin sementara tertuduh diwakili peguam, Datuk Rajpal Singh. - Bernama

Artikel Berkaitan: