Residensi Wilayah ganti RUMAWIP

Khalid Abdul Samad
Khalid Abdul Samad
A
A
A

PUTRAJAYA - Projek Rumah Mampu Milik Wilayah Persekutuan (RUMAWIP) akan dijenamakan semula sebagai Residensi Wilayah yang bakal dilancarkan bulan depan.

Menteri Wilayah, Khalid Abdul Samad, berkata, penjenamaan semula itu turut mensasarkan penambahan 10,000 unit lagi rumah mampu milik di Kuala Lumpur.

Menurutnya, projek Residensi Wilayah masih mengekalkan konsep kerjasama swasta namun akan ditambah baik dari segi keluasan unit dan kepadatan kawasan memastikan kualiti hidup rakyat lebih selesa.

“Jika RUMAWIP berkeluasan 800 kaki persegi, Residensi Wilayah akan ditambah kepada keluasan 900 kaki persegi setiap unit. Kepadatan juga dihadkan kepada 800 orang setiap ekar berbanding sekarang sehingga 1,200 orang seekar.

“Pelaksanaan projek ini masih melibatkan kerjasama swasta dimana insentif akan diberikan kepada pemaju dalam bentuk caj pembangunan dan premium yang rendah,” katanya kepada pemberita hari ini.

Tambah beliau, selain pelaksanaan kerjasama pemaju swasta, pihaknya juga akan mengenal pasti tanah-tanah Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) yang boleh dibangunkan kediaman mampu milik.

Ujarnya, beliau percaya masih terdapat tanah yang boleh dibangunkan untuk projek Residensi Wilayah.

“Tanah-tanah yang diambil semula melibatkan projek-projek yang dibatalkan sebelum ini kerana terlibat dengan penjualan tanah yang meragukan juga boleh digunakan.

Artikel Berkaitan:

“Selain itu, konsep pembangunan ‘reurban development’ melibatkan kediaman-kediaman kos rendah sedia ada yang telah usang juga antara kawasan yang berpotensi,” katanya.

Projek RUMAWIP yang diperkenalkan Kementerian Wilayah sebelum ini mensasarkan pembeli golongan pertengahan dengan harga jualan tidak melebihi RM300,000 seunit.