X

Kindly register in order to view this article
!

Pusat hiburan keluarga, gelanggang sukan mula beroperasi

WAN ROSDY
A
A

KUANTAN - Pusat hiburan keluarga serta gelanggang sukan dan rekreasi melibatkan sukan bersentuhan dan tiada sentuhan fizikal di negeri ini diberi kelonggaran untuk beroperasi bermula semalam.

Kerajaan negeri menetapkan pembukaan operasi perniagaan bagi sektor itu selaras dengan pengumuman Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob baru-baru ini.

Menteri Besar Pahang, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, kelab malam, pub dan disko bagaimanapun masih tidak dibenarkan untuk beroperasi.

Menurutnya, pusat hiburan keluarga yang dibenarkan termasuk arked permainan, hiburan pendidikan, hiburan permainan berasaskan peralatan mesin dan hiburan teknologi serta pusat karaoke keluarga.

“Bagi gelanggang sukan dan rekreasi yang melibatkan acara sukan tidak bersentuhan dan sukan individu tanpa penonton seperti perlumbaan permotoran di litar, pertandingan dan kejohanan badminton perseorangan, tenis perseorangan, gimnastik perseorangan, terjun papan anjal, kejohanan catur dan seumpamanya dibenarkan.

“Begitu juga dengan sukan dan rekreasi bersentuhan fizikal dan berpasukan seperti bola sepak, ragbi, bola keranjang, takraw, skuasy dan sukan tempur,” katanya melalui satu kenyataan hari ini.

Wan Rosdy berkata, penganjuran kejohanan dan pertandingan tempatan tanpa penonton seperti Liga Bolasepak Malaysia (MFL) melibatkan Liga Super dan Liga Premier, Liga Sepak Takraw (STL), Liga Hoki Malaysia (MHL) dan Liga Ragbi Malaysia (MRL) hanya dibenarkan mulai 15 Ogos depan.

Beliau berkata, penganjuran kejohanan dan pertandingan hanya terhad kepada acara dan kejohanan tempatan sahaja tanpa penonton dan tidak melibatkan perhimpunan peserta yang ramai.

“Waktu operasi bagi semua premis perniagaan yang dibenarkan itu mengikut lesen perniagaan yang telah diluluskan.

“Kesemua premis perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Majlis Keselamatan Negara (MKN), pihak berkuasa tempatan (PBT) dan agensi kerajaan sepertimana dipaparkan pada laman web MKN dan portal kerajaan negeri Pahang (www.pahang.gov.my),” katanya.

Menurutnya, semua premis perniagaan, fasiliti awam dan pelanggan diwajibkan menggunakan aplikasi MySejahtera atau PahangGo untuk tujuan daftar pergerakan dan semakan kendiri status risiko dan kesihatan.

“Bagi aktiviti dan acara keagamaan, sosial dan rasmi seperti mesyuarat, perhimpunan, latihan, jemaah masjid, surau dan rumah ibadah bukan Islam adalah mengikut kapasiti ruang serta pematuhan penjarakkan sosial,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!