X

Kindly register in order to view this article
!

Sasar penggemar makanan ringan

Muhammad Farhan menunjukkan produk Choco Crispy yang dihasilkan di kilangnya di Sabak Bernam, Selangor.
A
A

CHOCOCRISPY Enterprise optimis mencapai sasaran jualan sehingga 300,000 balang produk keluarannya iaitu Choco Crispy dalam tempoh tiga tahun akan datang.

Pengurusnya, Muhammad Farhan Abd Samad berkata, mereka komited untuk meraih angka jualan itu menerusi peluasan rangkaian pemasarannya di seluruh negara.

Malah, katanya, strategi pemasaran terus diperluas dari masa ke masa bagi memastikan Choco Crispy mendapat permintaan tinggi.

“Permintaan Choco Crispy meningkat mendadak terutamanya pembelian secara dalam talian, stokis dan ejen di seluruh negara.

“Kita akan berusaha mengembangkan lagi perniagaan ini dari masa ke semasa melalui pelan strategi pemasaran yang lebih terancang dan tersusun,” katanya kepada Bisnes Sinar.

Pemuda berusia 23 tahun itu menjelaskan, sasaran utama pasaran Choco Crispy adalah remaja, pelajar sekolah dan golongan dewasa yang menggemari makanan ringan. Menurutnya, setakat ini produk keluaran syarikat berkenaan mencatatkan jualan tertinggi di Selangor dan Johor.

Muhammad Farhan yang mengusahakan perniagaannya di Parit 1 Sungai Haji Dorani, Sabak Bernam, Selangor berkata, beliau akan terus pastikan perniagaan diusahakan itu berkembang maju, sekali gus membantu menjana pendapatan mereka yang berminat memasarkannya.

“Saya berharap produk ini akan terus membantu memberi peluang perniagaan kepada penduduk sekitar selain membuka cabang perniagaan kepada usahawan baharu yang ingin berjaya.

“Dengan kekuatan seramai 15 pekerja, kami sentiasa bertungkus-lumus memastikan perniagaan ini sentiasa berdaya saing dan proaktif serta mampu memenuhi permintaan pelanggan,” katanya.

Choco Crispy yang diusahakan pada Januari 2017 merupakan makanan ringan berasaskan bertih beras yang diadun dengan coklat rangup.

Produk berkenaan menawarkan dua variasi bertih beras iaitu bubble rice dan mini krunch dengan tiga jenis coklat pilihan.

Bagi menambah nilai produk dan jualan, pelanggan diberi pilihan untuk memilih sendiri empat topping (hiasan) terdiri daripada perisa milo, kit kat, oreo dan bueno.

Keunikan

Muhammad Farhan berkata, kelebihan dan keunikan produk syarikatnya itu terletak pada pilihan perisa coklat yang ditawarkan.

“Kami menawarkan coklat milk choc, white choc dan paling baharu ialah strawberi.

“Lebih istimewa apabila kami menawarkan tambahan hiasan seperti kismis dan kurma yang boleh didapati pada musim perayaan,” katanya.

Beliau berkata, Choco Crispy dijual pada harga RM10 dengan berat 300 gram setiap sebalang.

“Kita menjual produk berkualiti yang menawarkan harga berpatutan agar semua pelanggan mampu membelinya,” katanya.

Muhammad Farhan berkata, penghasilan Choco Crispy dilakukan dengan menggunakan mesin berteknologi tinggi melibatkan kos keseluruhan mencecah RM55,000.

Katanya, penyediaannya juga dilakukan secara rapi dan teliti bagi memastikan coklat yang dihasilkan itu memenuhi cita rasa pelanggan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!