Kerajaan disaran naikkan had statutori hutang

najib
najib
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan disaran mengemukakan usul serta-merta untuk menaikkan had statutori hutang 55 peratus kepada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) kepada paras yang lebih tinggi.

Bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, langkah itu akan dapat memberikan ruang fiskal yang mencukupi kepada kerajaan untuk memberikan bantuan yang diperlukan bagi membantu merancakkan ekonomi pasca Covid-19.

“Hutang negara kini berada pada RM823.8 bilion (54.4 peratus) pada akhir suku pertama 2020 manakala jaminan hutang kerajaan juga naik daripada RM238 bilion kepada RM280.4 bilion dalam tempoh sama,” katanya semasa membahaskan usul menjunjung kasih titah Yang di-Pertuan Agong pada persidangan Dewan Rakyat hari ini.

Di bawah Akta Pinjaman (Tempatan) 1959 (Akta 637) dan Akta Pendanaan Kerajaan 1983 (Akta 275) tidak membenarkan kerajaan untuk meminjam lagi apabila hutang negara melebihi had statutori nisbah hutang kepada KDNK pada 55 peratus.

Najib (BN-Pekan) berkata, ini penting kerana krisis yang dialami ini adalah krisis ekonomi paling parah yang belum pernah dihadapi negara dan dunia sejak 100 tahun lalu iaitu sejak 1920-an yang dikenali sebagai ‘The Great Depression’.

“Perlu disedari bahawa lebih mudah untuk sesebuah perniagaan ditutup berbanding membuka perniagaan baharu atau mencari pelabur.

“Oleh itu, kita perlu memberi tumpuan paling utama kepada usaha untuk menentukan perniagaan dan pekerjaan sedia ada yang menghadapi kesukaran supaya tidak gulung tikar,” katanya.

Semalam, Menteri Kewangan Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata, nisbah hutang terkumpul kepada KDNK sehingga akhir Jun 2020 pada tahap 53.2 peratus di bawah paras 55 peratus yang ditetapkan.

Artikel Berkaitan:

Menurutnya, sehingga kini negara mempunyai kecairan yang mencukupi dalam pasaran domestik untuk menyokong pembiayaan tambahan oleh kerajaan.

“Kerajaan juga kekal fokus dalam memelihara disiplin fiskal untuk mengekalkan kekukuhan sistemik dan integriti ekonomi serta memastikan Malaysia mempunyai kemampuan dan kapasiti untuk kembali pulih dengan secepat mungkin," katanya.

Katanya, sebahagian besar langkah yang diperkenalkan di bawah pakej rangsangan ekonomi adalah bersifat 'one-off' atau sementara dan tidak akan memberi kesan berpanjangan kepada tahap hutang kerajaan dalam jangka sederhana.

Tengku Zafrul juga berkata, dalam menangani krisis ekonomi akibat Covid-19, kerajaan telah memperkenalkan pakej rangsangan ekonomi dan pemulihan bernilai RM295 bilion.

Bagaimanapun, pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi ini hanya melibatkan suntikan langsung fiskal berjumlah RM45 bilion yang akan dibiayai menerusi pinjaman domestik.

“Setelah mengambil kira pengurangan hasil berikutan unjuran KDNK yang lebih rendah dan kejatuhan harga minyak mentah dunia serta pertambahan perbelanjaan bagi melaksanakan pakej rangsangan dan pemulihan ekonomi, defisit fiskal pada tahun 2020 dijangka meningkat sekitar 5.8 peratus hingga 6.0 peratus daripada KDNK,” katanya.

Sementara itu, Najib juga menyarankan Bank Negara Malaysia dan bank-bank lain untuk mengkaji semula keputusan tidak melanjutkan tempoh moratorium kepada peminjam.

“Ini kerana saya amat bimbang apabila banyak syarikat dan peminjam bank tidak mampu membayar ansuran bulanan apabila tempoh moratorium tamat sehingga terpaksa diisytiharkan muflis,” katanya.

Kerajaan sebelum ini di bawah pakej rangsangan Prihatin telah memberikan moratorium selama enam bulan untuk semua pinjaman bank dan tempoh moratorium tersebut akan berakhir pada 31 September ini. - Bernama