X

Kindly register in order to view this article
!

Kemelut politik Thailand: Timbalan PM, tiga lagi menteri letak jawatan

Timbalan Perdana Menteri Thailand, Somkid Jatusripitak dan tiga menteri Kabinet termasuk Menteri Kewangan meletakkan jawatan dipercayai akibat tekanan diterima berikutan rombakan barisan kepimpinan Parti Palang Pracharath (PPRP) bulan lalu.
A
A

BANGKOK - Timbalan Perdana Menteri Thailand, Somkid Jatusripitak dan tiga menteri Kabinet termasuk Menteri Kewangan meletakkan jawatan dipercayai akibat tekanan diterima berikutan rombakan barisan kepimpinan Parti Palang Pracharath (PPRP) bulan lalu.

Pengunduran diri Somkid dan pasukan ekonomi - Menteri Kewangan, Uttama Savanayana; Menteri Tenaga, Sontirat Sontijirawong dan Menteri Pengajian Tinggi, Sains dan Inovasi Suvit Maesincee memberi gambaran mungkin berlaku rombakan Kabinet.

Timbalan Setiausaha Agung Perdana Menteri bagi hal ehwal politik Kobsak Pootrakool turut meletakkan jawatan.

Diketuai Uttama kecuali Somkid yang tidak hadir, mereka menyerahkan surat peletakan jawatan kepada setiausaha agung kepada Perdana Menteri, Dissatat Hotrakit hari ini.

Surat peletakan jawatan Somkid diserahkan oleh Korbsak.

Pada sidang media kemudian, Uttama berkata, peletakan jawatan kesemua mereka berkuat kuasa serta-merta.

"Kami rasa sekarang adalah masa yang sesuai untuk berundur supaya negara terus maju. Ia akan mengurangkan tekanan politik terhadap Perdana Menteri (Jeneral Prayuth Chan o-cha). Ini adalah keputusan kami sendiri. Tiada sebarang tekanan.

"Kami ingin mengucapkan terima kasih kepada perdana menteri atas kepercayaan dan kesempatan yang diberikan untuk kami berkhidmat kepada rakyat dan negara," katanya.

Uttama memberi bayangan faktor kesihatan Somkid juga antara sebab di sebalik keputusannya itu.

"Dia ingin berehat dan menjaga kesihatannya, begitu juga kami...tolong biarkan kami berehat," katanya.

Sementara itu, Sontirat menafikan dakwaan kumpulan itu akan menubuhkan parti politik baharu.

"Kami ingin berhenti terlibat dalam kegiatan politik," katanya.

Pada 9 Julai, Uttama yang juga bekas pemimpin parti PPRP, Sontirat (bekas setiausaha agung) dan Suvit (timbalan ketua parti) mengumumkan keluar daripada parti berkenaan - parti terbesar Thailand dalam gabungan 19 parti pemerintah, berikutan perubahan kepimpinan bulan lalu.

Timbalan Perdana Menteri, Prawit Wongsuwan menerajui PPRP selepas 18 daripada 34 eksekutif parti itu mengundurkan diri pada 1 Jun.

Thailand yang sedang berjuang mengatasi kejatuhan ekonomi disebabkan koronavirus (Covid-19) pengunduran itu dilihat akan menjejaskan proses pemulihan. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!