X

Kindly register in order to view this article
!

Penagih dadah cederakan anggota AADK

Antara penagih dadah yang ditahan dalam Ops Cegah di sekitar Kuala Muda semalam.
A
A

SUNGAI PETANI - Seorang penagih dadah sanggup mencederakan anggota Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) dengan kayu demi mengelak daripada ditahan dalam serbuan di sekitar Kuala Muda semalam.

Ketua Pegawai AADK Daerah Kuala Muda, Arnida Ishak berkata, lelaki berusia 36 tahun itu bagaimanapun ditahan dalam serbuan di sebuah rumah di Kampung Rusa, Sungai Petani di sini.

Beliau berkata, lelaki berkenaan bertindak membaling kayu pada anggota AADK yang melakukan serbuan di sebuah rumah menyebabkan salah seorang anggota AADK cedera pada bahagian tangan.

"Ketika serbuan, suspek yang telah berkahwin bertindak agresif dengan membaling kayu ke arah anggota dan cuba melarikan diri sebelum ditahan kira-kira 50 meter dari rumahnya.

"Melalui ujian saringan awal air kencing, lelaki berkenaan yang merupakan orang yang disyaki (OYDS) didapati positif dadah jenis methamphetamine," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Seorang anggota AADK Kuala Muda cedera terkena kayu yang dibaling seorang penagih dadah dalam operasi di sekitar Kuala Muda, semalam.
Seorang anggota AADK Kuala Muda cedera terkena kayu yang dibaling seorang penagih dadah dalam operasi di sekitar Kuala Muda, semalam.

Katanya, lelaki terbabit antara 11 lelaki berusia antara 16 hingga 37 tahun yang ditahan dalam Ops Cegah dilakukan lima anggota AADK Kuala Muda termasuklah seorang pegawai diketuai Mohd Fitri Amin Zainol bermula jam 9 pagi hingga 8 malam.

Menurutnya, daripada jumlah itu, seramai enam lelaki yang ditahan didapati positif dadah jenis methamphetamine, empat lagi positif dadah jenis morfin dan seorang lagi positif ganja.

Katanya, mereka disiasat mengikut Seksyen 3 (1 ) Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 Pindaan 1998 dengan enam ditahan reman di Lokap Kuala Muda dan lima lagi dibebaskan dengan jaminan bersyarat.

"Dalam operasi itu, AADK Kuala Muda menggempur 14 kawasan dalam daerah Kuala Muda seperti Taman Ria Jaya, Flat Paya Nahu, Kampung Masjid, Kilang Makau, Taman Desa Aman, Taman Kempas dan Kampung Bukit Kecil," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari.Langgan Sekarang!

Polisi Data Peribadi Karangkraf