PMB Investment umum lima dana terbaik

Abd Latiff (tengah) dan Najmi (kiri sekali) bersama barisan PMB Investment serta Pelaburan MARA Berhad menunjukkan lima dana terbaik yang merekodkan prestasi cemerlang di Kuala Lumpur semalam. - Foto Rosli Talib
Abd Latiff (tengah) dan Najmi (kiri sekali) bersama barisan PMB Investment serta Pelaburan MARA Berhad menunjukkan lima dana terbaik yang merekodkan prestasi cemerlang di Kuala Lumpur semalam. - Foto Rosli Talib
A
A
A

PMB Investment Berhad (PMB Investment) yang merupakan ahli kumpulan Pelaburan MARA Berhad mengumumkan lima daripada 16 dana di bawah pengurusannya merekodkan prestasi cemerlang.

Dana tersebut terdiri daripada PMB Shariah ASEAN Stars Equity USD, PMB Shariah Growth Fund, PMB Shariah Small-Cap Fund, PMB Dana Mutiara dan PMB Shariah Index.

Ketua Pegawai Eksekutif PMB Investment, Najmi Mohamed berkata, dana tersebut berada dalam Lipper Investment Management bagi kategori unit amanah Ekuiti Malaysia, Ekuiti Pertumbuhan, Ekuiti Pertumbuhan Pendapatan dan dana Ekuiti Index.

Menurutnya, PMB Shariah ASEAN Stars Equity USD bagi kategori dana Ekuiti Pertumbuhan mencatat pulangan sebanyak 29. 6 peratus bagi tempoh setahun hingga 30 Jun 2020 dan 12.1 peratus bagi tempoh tiga bulan bermula 31 Mac lalu.

“PMB Shariah Growth Fund yang berada di pasaran bagi Ekuiti Pertumbuhan Malaysia mencatat pulangan sebanyak 24.7 peratus untuk prestasi setahun dan pulangan sebanyak 42 peratus bagi tempoh tiga bulan.

“Sementara PMB Shariah Small-Cap Fund mencatat pulangan sebanyak 15.2 peratus setahun atau 26 peratus untuk tempoh tiga berakhir 30 Jun bagi kategori Ekuiti Pertumbuhan Malaysia,” katanya pada pengumuman prestasi lima dana terbaik PMB Investment di 1 Sentral Brickfields, Kuala Lumpur semalam.

Najmi Mohamed - Foto Rosli Talib
Najmi Mohamed - Foto Rosli Talib

Majlis perasmian disempurnakan Menteri Pembangunan Luar Bandar, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad.

Artikel Berkaitan:

Turut hadir, Pemangku Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Pelaburan MARA Berhad, Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin dan Ketua Pegawai Pelaburan PMB Investment, Isnami A Mohtar.

Sementara itu, Najmi berkata, PMB Investment turut merekodkan kedudukan cemerlang dalam kategori Ekuiti Pertumbuhan Pendapatan Malaysia bagi tempoh setahun dan tiga bulan.

“Ia melalui PMB Dana Mutiara yang merekodkan pulangan sebanyak 13.2 peratus setahun dan 31.2 peratus bagi tempoh tiga bulan yang berakhir 30 Jun 2020.

“Pelaburan PMB Shariah Index juga berjaya melepasi penanda aras FBM Emas Syariah dalam kategori Ekuiti Syariah Indeks Malaysia apabila mencatatkan prestasi pulangan berjumlah 9.7 peratus setahun dan 25.5 peratus bagi tempoh tiga bulan,” katanya.