Menyingkap tirai kemiskinan di Malaysia

Syahir Sulaiman
Syahir Sulaiman
A
A
A

LANGKAH kerajaan untuk menyemak semula ‘ukuran kemiskinan’ adalah suatu keperluan yang sudah lama tertangguh dan amat bertepatan bagi menyingkap realiti kemiskinan di sebalik pembangunan negara.

Menurut Jabatan Perangkaan Malaysia, had baharu Pendapatan Garis Kemiskinan (PGK) telah disemak semula kepada RM2,208 berbanding RM980 yang telah digunapakai sejak 2005.

Pengenalan had baharu itu menjadikan jumlah isi rumah yang tergolong dalam kategori miskin bertambah kepada 405,441 (5.6%) berbanding hanya 16,653 jika menggunakan had sebelum ini. Jumlah isi rumah miskin tegar juga telah meningkat kepada 27,158 mengikut PGK baharu itu berbanding 1,752 mengikut had lama.

“Perbezaan utama metodologi baharu PGK adalah mengambil kira aspek pemakanan sihat, keperluan optimum dan keperluan asas berkualiti," ujar Ketua Perangkawan Malaysia ketika membentangkan Laporan Survei Pendapatan Isi Rumah dan Laporan Survei Perbelanjaan Isi Rumah Malaysia bagi tahun 2019.

Dapatan survei tersebut turut mencatatkan had pendapatan mengikut kumpulan seperti berikut:

• Segmen B40 – pendapatan kurang RM4,849 sebulan, 2.9 juta isi rumah.

• Segmen M40 – pendapatan antara RM4,850 hingga RM10,959 sebulan, 2.9 juta isi rumah.

• Segmen T20 – pendapatan melebihi RM10,960 sebulan, 1.5 juta isi rumah.

Artikel Berkaitan:

Dari segi agihan pendapatan (share of income), segmen T20 memiliki 47 peratus dari jumlah pendapatan isi rumah, segmen M40 memiliki 37 peratus, manakala segmen B40 pula hanya memiliki 16 peratus daripada jumlah pendapatan.

Realiti kemiskinan

Setiap kali kerajaan mengumumkan angka rasmi kemiskinan, sama ada di peringkat nasional mahupun di peringkat negeri dan daerah, statistik tersebut perlu dicabar.

Persoalan terpenting adakah angka kemiskinan yang dilaporkan menggambarkan realiti sebenar golongan termiskin di bandar dan luar bandar, ataupun sekadar angka yang menunjukkan ‘kejayaan’ kerajaan mengurangkan kadar kemiskinan, namun hakikatnya masih ramai yang terpinggir dan dikesampingkan.

Justeru langkah kerajaan menyemak semula ‘takrifan dan ukuran kemiskinan’ adalah langkah awalan dalam usaha menambahbaik usaha menangani kemiskinan secara lebih efektif dan inklusif di seluruh negara.

Berpandukan statistik yang tepat, kerajaan dapat menggubal dasar dan strategi yang terarah, seterusnya merangka program dan inisiatif yang lebih dinamik mengikut keperluan kumpulan sasar, meliputi pelbagai dimensi kehidupan seperti pemakanan, penjagaan kesihatan, pendidikan dan keperluan asas, selain mengatasi masalah ketirisan dan penyelewengan di pertengahan jalan.

Penumpuan perlu diberikan kepada golongan terkebelakang melibatkan kemiskinan bandar (urban poverty) dan kemiskinan luar bandar (rural poverty), di samping golongan rentan (vulnerables) yang boleh ‘jatuh miskin’ dalam sekelip mata akibat pemberhentian kerja, hilang upaya, keberhutangan dan kehilangan ketua keluarga.

Terlebih penting adalah keberkesanan program menangani kemiskinan dalam jangka pendek, sederhana dan panjang, melalui bantuan kebajikan, kewangan, kemahiran dan sistem sokongan yang menyeluruh, melibatkan sinergi agensi kerajaan, swasta, baitulmal, pertubuhan bukan kerajaan dan institusi masyarakat, khususnya dalam mendepani suasana pasca Covid-19 yang semakin mencabar.

Ini bagi memastikan agenda menangani kemiskinan dan meningkatkan taraf hidup rakyat akan terus menjadi keutamaan, seterusnya merapatkan jurang kaya miskin dan ketidakseimbangan wilayah, supaya perpaduan negara terus kukuh, ekonomi negara terus berkembang dan kemakmuran dikongsi secara saksama.

Semoga permasalahan struktural itui mendapat perhatian sekalian ahli-ahli Yang Berhormat yang kini sedang bersidang di Dewan Parlimen.

**Syahir Sulaiman ialah Setiausaha Politik Presiden Pas