Sudah tiba masa laksanakan program KKP di sekolah: NUTP

Aminuddin Awang
Aminuddin Awang
A
A
A

SHAH ALAM - Kesatuan Perkhidmatan Perguruan Kebangsaan Malaysia (NUTP) berpandangan Program Keselamatan dan Kesihatan Pekerjaan (KKP) perlu dilaksanakan di sekolah bagi memberi kesedaran kepada guru-guru bahawa setiap aktiviti yang dilakukan ada bahaya dan risikonya.

Presiden NUTP, Aminuddin Awang berkata, dalam program KKP di tempat kerja, setiap aktiviti yang berisiko tinggi seperti bekerja di tempat tinggi yang melebihi tiga meter dan terbuka perlu mendapat kelulusan permit bekerja di tempat tinggi.

Menurutnya, pengeluar dan penerima permit itu perlu memastikan sebarang bahaya dikawal terlebih dahulu sebelum kerja tersebut dibenarkan untuk dimulakan.

"Hal ini tidak berlaku di sekolah sebelum ini kerana semua pihak atasan termasuk Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) beranggapan tidak penting perkara tersebut dilaksanakan di sekolah.

"Setiap sekolah yang kakitangannya 40 orang atau lebih, wajib menubuhkan ahli jawatankuasa KKP kemudiannya membuat pemeriksaan KKP setiap tiga bulan dan membentangkan pada mesyuarat Jawatankuasa KKP yang wajib juga diadakan setiap tiga bulan.

"Perkara ini disebut di bawah Akta KKP 1994 di mana penaltinya adalah RM5,000 atau enam bulan penjara atau kedua-duanya sekali kepada majikan.

"Sekolah-sekolah tidak pernah diberikan bimbingan ke arah itu dan sudah tiba masanya kerajaan memulakan langkah tersebut," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Aminuddin berkata demikian mengulas mengenai tragedi yang menimpa seorang guru mata pelajaran Matematik di Sekolah Kebangsaan (SK) Batu Gajah di Tanah Merah, Rosli Abdul Aziz, 54, yang maut selepas terjatuh dari balkoni tingkat satu bangunan sekolahnya ketika melakukan persiapan akhir sebelum pembukaan semula sekolah.

Artikel Berkaitan:

Beliau berkata, secara tidak langsung perkara yang berlaku akan membuka mata pelbagai pihak di luar sekolah akan beratnya tugas dan peranan guru di sekolah.

"Sebagai seorang yang bertanggungjawab, guru-guru akan menggunakan ikhtiar sendiri bagi memastikan setiap kehendak orang atasan daripada mereka dipatuhi termasuklah melakukan sesuatu yang ada risiko sebagaimana yang berlaku pada Allahyarham.

"Kemalangan ini menunjukkan betapa pentingnya program KKP di sekolah kerana ia akan memberikan pengetahuan dan kesedaran kepada semua kakitangan di sekolah termasuk guru dalam mengenal pasti apakah aktiviti atau kelakuan yang berbahaya. Dalam hal ini, guru guru akan mempunyai pengetahuan untuk menentukan kawalan yang perlu diambil," katanya.

Pada September 2019, Pekeliling 03/2019 daripada Ketua Setiausaha Negara (KSN) menghendaki setiap kementerian, jabatan dan agensi kerajaan mewujudkan dan melaksanakan program KKP.

Namun arahan itu tidak sampai ke peringkat sekolah untuk dilaksanakan kerana sekolah hanya akan melaksanakan sesuatu yang diarahkan oleh pihak Pejabat Pendidikan Daerah (PPD) dan Jabatan Pendidikan Negeri (JPN).

Dalam pada itu, pihak NUTP mengucapkan takziah kepada keluarga Allahyarham Cikgu Rosli atas kemalangan tersebut.