X

Kindly register in order to view this article
!

Speaker Dewan Rakyat perlu tegas dan berani

Azhar Azizan (tengah) bersama Timbalannya, Azalina Othman (tiga dari kanan) dan Mohd Rashid (tiga dari kiri) ketika hadir pada Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Majlis Parlimen Keempat Belas di Bangunan Parlimen, Kuala Lumpur Isnin lalu. -Foto Bernama
A
A

PELANTIKAN Datuk Azhar Azizan Harun sebagai Speaker Dewan Rakyat baharu pada Isnin lalu berjaya dilakukan walaupun mendapat tentangan sengit daripada blok pembangkang di Parlimen. Undian belah bahagi yang dibuat hanya berbeza dua undi iaitu 111 menyokong dan 109 menolaknya.

Walaupun menang, kerajaan masih belum boleh menarik nafas lega kerana perbezaan yang sedikit ini boleh menyukarkan penggubalan polisi kerajaan pada masa depan.

Isu pertukaran Speaker Dewan Rakyat sudah mula kedengaran sejak hujung bulan lalu apabila Azhar meletakkan jawatan Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pada 29 Jun lalu.

Langkah itu dibuat selepas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin mengusulkan cadangan untuk menamatkan khidmat Speaker Dewan Rakyat sebelum ini, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Timbalan Speaker, Nga Kor Ming.

Ekoran itu, pada 5 Julai lalu, pemimpin blok pembangkang daripada Parti Keadilan Rakyat (PKR), DAP, Amanah, Warisan, Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) dan Parti Sarawak Bersatu (PSB) mengeluarkan kenyataan tidak bersetuju dengan cadangan untuk menukar Yang Dipertua Dewan Rakyat dan timbalannya.

Alasan mereka adalah jawatan berkenaan harus berkecuali dan tidak terkesan dengan mana-mana pergolakan politik. Selain itu, pembangkang turut menyifatkan Mohamad Ariff dan Kor Ming berkhidmat dengan penuh profesional sebagai pengelola dan timbangtara di Dewan Rakyat.

“Tidak ada asas kukuh untuk menyingkirkan kedua-duanya. Sejak Mohamad Ariff dilantik, pelbagai reformasi dan penambahbaikan Parlimen dilancarkan secara konsisten demi memulihkan martabat institusi Parlimen.

“Antaranya menubuhkan enam Jawatankuasa Pilihan Khas iaitu Jawatankuasa Pilihan Khas Menimbang Rang Undang-Undang, Jawatankuasa Pilihan Khas Bajet, Jawatankuasa Pilihan Khas Pertahanan dan Hal Ehwal Dalam Negeri serta Jawatankuasa Pilihan Khas Hak Asasi dan Kesaksamaan Gender serta mewujudkan Kumpulan-Kumpulan Rentas Parti untuk merakyatkan Parlimen,” kata kenyataan daripada blok pembangkang itu.

Prestasi hari pertama

Pada hari pertama Azhar Azizan menjadi Yang Dipertua Dewan Rakyat, sejurus selepas mengangkat sumpah, beliau telah bertindak mengarahkan Ahli Parlimen Shah Alam, Khalid Abdul Samad keluar dari Dewan Rakyat kerana berlaku kekecohan sebelum itu.

Kekecohan itu berterusan sehingga memaksa Azhar Azizan menutup mikrofon ahli-ahli Parlimen bagi membolehkannya menyampaikan ucapan sulung beliau. Tindakan pantas beliau sedikit sebanyak meredakan kekecohan yang berlaku.

Azhar Azizan dalam ucapannya berkata, beliau percaya ahli-ahli Parlimen boleh melaksanakan tugas dan tanggungjawab dengan sempurna demi kebaikan dan kepentingan negara.

Penganalisis Dasar, Politik dan Ekonomi daripada Universiti Utara Malaysia (UUM), Md Shukri Shuib berkata, prestasi hari pertama Azhar sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat amat memberangsangkan apabila beliau menunjukkan sifat tegas dan berani.

Katanya, tugas utama Speaker Dewan Rakyat adalah bagaimana beliau menguruskan perbahasan dan mengawal gelagat ahli-ahli Parlimen selain bertindak neutral.

Azhar Azizan (tengah) bersama Azalina (kanan) dan  Mohd Rashid (kiri) ketika hadir Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-14  di Bangunan Parlimen. -Foto Bernama
Azhar Azizan (tengah) bersama Azalina (kanan) dan Mohd Rashid (kiri) ketika hadir Persidangan Mesyuarat Kedua Penggal Ketiga Majlis Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen. -Foto Bernama

“Speaker Dewan Rakyat mempunyai hak untuk menetapkan perjalanan perbahasan. Jika ada gangguan, Speaker boleh menggunakan elemen ketegasan seperti yang dilakukan oleh Azhar Azizan pada Isnin lalu (arahkan ahli Parlimen keluar Dewan) bagi memastikan perbahasan berjalan lancar,” katanya.

Sementara itu, Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi Mara (UiTM), Mujibu Abd Muis pula menyifatkan terlalu awal untuk mengukur prestasi Azhar Azizan.

Katanya, cabaran utama yang bakal dihadapi Azhar Azizan adalah bagaimana beliau menguruskan usul undi percaya kepada kepimpinan Perdana Menteri nanti.

“Usul percaya kepada Perdana Menteri adalah ujian utama kepada Azhar Azizan. Di situ kita akan dapat melihat sama ada beliau akan meneruskan usul tersebut atau mengeluarkannya daripada senarai.

“Setakat ini saya melihat tugasnya sebagai Speaker Dewan Rakyat adalah berani dan tegas. Lagipun perangai ahli-ahli Parlimen kita masih di takuk lama, masih macam budak-budak, kita perlukan seorang Speaker Dewan Rakyat yang keras,” katanya.

Reformasi Parlimen

Pada Isnin lalu, dua ahli Parlimen tidak mengundi iaitu Ahli Parlimen Kota Marudu, Datuk Seri Dr Maximus Ongkili yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Sabah Sarawak) tidak hadir berikutan masalah kesihatan dan Ahli Parlimen Batu Pahat, Datuk Mohd Rashid Hasnon, yang mengendalikan mesyuarat.

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara, Tan Sri Adam Kadir berkata, walaupun pengosongan jawatan Speaker Dewan Rakyat jarang berlaku di mana-mana negara yang mengamalkan sistem Westminster, tetapi soal pokoknya Dewan Rakyat mempunyai kuasa untuk membuat keputusan tersebut.

“Bentuk kerajaan yang ada hari ini agak luar biasa, tidak berlandaskan kepartian dalam struktur kerajaan campuran. Maka sesuatu yang sama-sama luar biasa mungkin berlaku bila-bila masa,” katanya.

Katanya lagi, mana-mana kerajaan yang baru tertubuh berhak mendapatkan seorang Speaker pilihannya.

“Seorang Speaker yang tidak sebulu, kalau pun tidak menentang kerajaan, mungkin cenderung untuk mencari jalan melemahkan kerajaan.

“Keadaan ini mungkin mendorong ke arah penjejasan kepercayaan dalam kalangan ahli Dewan. Lebih parah lagi apabila sentimen buruk sebegitu mempengaruhi rakyat yang menjadi penentu pada pilihan raya kelak,” katanya.

Sementara itu, Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM), Mohd Izzat Afifi Abdul Hamid berharap agenda reformasi Parlimen yang dibawa oleh Mohamad Ariff sebelum ini diteruskan oleh Azhar Azizan sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang baharu.

Katanya, pemerkasaan Parlimen tidak seharusnya berubah kerana iklim politik negara kerana demokrasi hanya dapat berjalan sekiranya Parlimen dapat menjalankan fungsinya dengan baik.

“Tan Sri (Mohamad Ariff) akan sentiasa diingati sebagai Yang Dipertua Dewan Rakyat yang cuba membawa perubahan dalam sistem Parlimen.

“Keterbukaan Tan Sri semasa mengemudi Parlimen terbukti dengan kesediaan Parlimen bekerjasama dengan MBM untuk program-program seperti Sekolah Politik yang pernah diadakan di Parlimen dan Model Parlimen Malaysia yang dirancangkan.“Pelantikan Datuk Seri Azalina Othman Said juga satu perubahan yang baik kali ini, dan menandakan penghargaan kepada peranan wanita dalam Parlimen Malaysia,” katanya.

Selamat bertugas kepada Azhar Azizan, semoga martabat Dewan Rakyat diangkat lebih tinggi!


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!