Rokok, arak seludup bernilai lebih RM200,000 dirampas

No Image Caption
A
A
A

KUCHING - Pasukan Gerakan Am (PGA) Batalion Ke-11 Kuching merampas rokok dan minuman keras yang disyaki diseludup dianggarkan bernilai RM238,200 dalam satu operasi di Bau petang semalam.

Pegawai Pemerintah Batalion Ke-11 PGA Kuching, Superintendan Rosdi Inai berkata, menerusi operasi yang dijalankan pada jam 1.20 tengah hari itu sebanyak 813 karton rokok pelbagai jenama dan 412 kotak mengandungi minuman keras disembunyikan di sebuah premis rumah kedai dirampas.

"Ketika serbuan dilakukan di premis tersebut, kita juga menahan seorang suspek lelaki warga tempatan berusia 39 tahun yang kita percaya merupakan pemilik kepada premis terbabit," katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata, suspek turut bertindak cuba menawarkan rasuah sebanyak RM3,000 kepada anggota yang terlibat dalam operasi itu selepas gagal menunjukkan sebarang dokumen sah berhubung pemilikan barangan terbabit apabila diminta berbuat demikian.

Menurut beliau, hasil daripada maklumat yang diperoleh, rokok-rokok terbabit disyaki dibawa masuk ke Sarawak dari negara jiran menerusi laluan darat untuk pasaran di sekitar Daerah Bau dan Kuching.

Kes ini telah diserahkan kepada Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Bau dan Suruhanjaya Pencegah Rasuah Malaysia (SPRM) untuk disiasat mengikut Sekyen 135(1)(d) Akta Kastam Diraja Malaysia dan Akta SPRM 2009. - Bernama

Artikel Berkaitan: