X

Kindly register in order to view this article
!

Aspirasi Rukun Negara dilupakan

Muhyiddin (tengah) mengetuai bacaan lafaz Rukun Negara dalam pelancaran sambutan Ulang Tahun ke-50 Rukun Negara di Bangunan Perdana Putra, Putrajaya pada 9 Julai lalu.
A
A

MENJADIKAN Rukun Negara sebagai sebahagian daripada sambutan Hari Kemerdekaan pada tahun ini akan disokong oleh kebanyakan rakyat Malaysia.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin berikrar untuk mengangkat Rukun Negara sebagai agenda teras kerajaan dalam menentukan hala tuju masa depan negara Malaysia.

Namun, sangat disesalkan bahawa ketika pelancaran sambutan 50 tahun Rukun Negara pada 9 Julai lalu, hanya lima prinsip Rukun Negara − dan bukan lima aspirasinya − yang disebutkan.

Sebilangan daripada kita telah membuktikan menerusi pelbagai peristiwa bahawa prinsip dan aspirasi saling berkaitan dan tidak dapat dipisahkan antara satu sama lain.

Rukun Negara hendaklah disebarkan sebagai satu ideologi nasional bersepadu.

Saya telah menulis tentang hal ini pada September 2017. Artikel itu diterbitkan semula seperti di bawah.

****

WALAUPUN harus dipuji apabila lima prinsip Rukun Negara dibacakan pada perarakan di Dataran Merdeka sempena ulang tahun ke-60 Merdeka pada 31 Ogos 2017, sayang sekali hanya sebahagian daripada ideologi kebangsaan itu yang diberi penekanan.

Lima prinsip itu − Kepercayaan kepada Tuhan; Kesetiaan kepada Raja dan Negara; Keluhuran Perlembagaan; Kedaulatan Undang-Undang; dan Kesopanan dan Kesusilaan − adalah garis panduan untuk mencapai lima aspirasi atau matlamat negara. Rukun Negara menyatakan perkara ini dengan jelas.

Ia mengatakan bahawa: “Kami, rakyat Malaysia, berikrar akan menumpukan seluruh tenaga dan usaha kami untuk mencapai cita-cita tersebut berdasarkan atas prinsip-prinsip yang berikut....”

Apakah matlamatnya? Perpaduan yang lebih meluas dalam masyarakat; cara hidup demokratik; masyarakat yang adil di mana kemakmuran negara dikongsi secara saksama; memastikan pendekatan liberal terhadap tradisi budaya yang pelbagai di negara ini; dan mewujudkan masyarakat progresif yang memanfaatkan sains dan teknologi moden.

Mengapa matlamat negara ini jarang disebut? Mengapa aspirasi nasional selalu diketepikan? Bukankah tidak masuk akal bahawa seseorang harus menyatakan dengan lantang lima prinsip, namun lima matlamat yang sepatutnya mengiringi prinsip-prinsip berkenaan disembunyikan daripada orang ramai? Ia berlaku secara sistematik dan konsisten selama lebih 30 tahun.

Sama ada pada buku latihan sekolah atau dalam media atau ketika majlis umum, fokusnya selalu pada prinsip-prinsip Rukun Negara sementara aspirasinya tidak diendahkan sama sekali.

Penjelasan

Apakah penjelasan di sebalik usaha sengaja dan tidak sengaja ini dalam menyembunyikan matlamat negara seperti yang termaktub dalam Rukun Negara?

Lagipun semasa Rukun Negara pertama kali diumumkan oleh Yang di-Pertuan Agong keempat pada 31 Ogos 1970, aspirasi dan prinsip dinyatakan dalam satu turutan. Pada tahun 1970-an, matlamatnya menonjol dalam wacana umum.

Ada tiga penjelasan berhubung pengabaian aspirasi Rukun Negara. Sekiranya orang ramai sedar akan matlamat negara melalui peringatan berterusan oleh mereka yang berkuasa dan berpengaruh, rakyat akan menjadi lebih kritikal dalam menilai pemimpin dan dasar-dasar kerajaan.

Mereka akan bertanya sama ada kita benar-benar menyuburkan budaya demokratik atau apakah kekayaan negara dibahagikan lebih adil hari ini berbanding masa lalu, atau apakah kita menjadi lebih progresif ketika menggunakan teknologi baharu?

Warganegara yang bersikap kritis selalunya tidak disenangi pemerintah. Secara mudah, pengundi yang berfikir tidak akan memberi kelebihan kepada mereka yang ingin berpaut pada kuasa dan mereka yang berusaha untuk merebut kuasa dengan cara apa pun.

Mungkin ada sebab lain mengapa ada keengganan untuk mengutamakan matlamat Rukun Negara. Dalam tempoh 10 tahun kebelakangan ini, sesetengah orang yang berkuasa memupuk kebencian terhadap istilah ‘liberal’ yang dikaitkan dengan matlamat keempat ideologi kebangsaan.

Liberal

Liberal atau liberalisme bagi mereka bermaksud kebebasan mutlak dan tidak terkawal. Mereka mungkin tidak sedar bahawa beberapa pendokong pemikiran liberal terkenal mengakui tentang pentingnya batas kebebasan.

Terdapat juga sebilangan rakyat Malaysia yang menyamakan liberal dengan sokongan terhadap LGBT. Ia merupakan satu lagi tanggapan yang salah. Terdapat banyak golongan liberal yang ideanya mengenai peranan gender, hubungan seksual dan perkahwinan akan menghalang mereka daripada memperjuangkan LGBT.

Bagaimanapun, dalam Rukun Negara, kata-kata ‘pendekatan liberal’ digunakan secara eksklusif untuk menggambarkan pandangan tertentu mengenai tradisi budaya bangsa yang pelbagai. ‘Terbuka’, ‘inklusif’ atau ‘akomodatif’ akan menjadi beberapa istilah yang sinonim dengan Rukun Negara.

Pendekatan liberal terhadap kepelbagaian budaya bangsa itu yang dinyatakan dalam sikap orang ramai dan golongan elit ialah salah satu kekuatan terbesar kita. Ia menerangkan mengapa kita bersatu sebagai sebuah negara selama beberapa dekad.

Mungkin ada sebab lain mengapa ada yang menentang untuk menekankan matlamat negara melalui Rukun Negara.

Bagi kumpulan dan individu ini, aspirasi Rukun Negara merosakkan agenda mereka sendiri untuk menggerakkan negara ke arah lain.

Mereka memandang tujuan seperti cara hidup demokratik atau masyarakat progresif sebagai ‘sekular’ dan oleh itu bertentangan dengan agenda mereka untuk mendirikan sebuah negara Islam yang dipandu oleh syariah seperti yang ditafsirkan oleh segmen ulama.

Sejumlah keputusan mahkamah dan episod lain dalam beberapa tahun kebelakangan ini menunjukkan dorongan untuk sebuah negara dan masyarakat yang pada hakikatnya berbeza daripada apa yang dibayangkan oleh Rukun Negara dan Perlembagaan Malaysia.

Ironinya, sebilangan penyokong negara baharu ini berharap dapat mencapai misi mereka melalui Artikel 3 Perlembagaan yang mengakui Islam sebagai agama Persekutuan. Ini contoh yang jelas bagaimana Perlembagaan digunakan untuk merosakkan Perlembagaan itu sendiri.

Inilah sebabnya mengapa tugas mengangkat matlamat-matlamat Rukun Negara dalam erti kata merangkul Perlembagaan sangat penting pada tahap berkenaan kerana negara ia akan terus menempuh jalan yang telah ditetapkan pada tahun 1957 − jalan yang diteguhkan pada 1970.

Ini adalah alasan paling kuat untuk mengembalikan Rukun Negara secara keseluruhan, baik aspirasi mahupun prinsipnya. Sekiranya kita tidak berjaya memperkasa Rukun Negara, aspirasi dan prinsipnya, kita pasti akan mengecewakan orang yang mempelopori Rukun Negara yang melihatnya sebagai platform untuk membangun kembali negara setelah rusuhan tragis.

Sesungguhnya, hanya dengan memastikan Rukun Negara terus utuh, kita akan menghormati salah satu warisan hebat Tun Razak.

* Dr Chandra Muzaffar ialah Pengerusi Lembaga Pemegang Amanah Yayasan 1Malaysia.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!