X

Kindly register in order to view this article
!

Pas cadang Pahang contohi Terengganu

Pas Pahang akan mencadangkan supaya Pahang mencontohi kerajaan Terengganu dalam melaksanakan peraturan pengasingan jantina dalam pawagam. Gambar kiri: Rosli
A
A

KUANTAN - Pas Pahang akan mencadangkan supaya Pahang mencontohi kerajaan Terengganu dalam melaksanakan peraturan pengasingan jantina dalam pawagam di negeri itu.

Pesuruhjaya Pas Pahang, Rosli Abdul Jabbar berkata, peraturan itu bertepatan dengan ajaran Islam dalam usaha pencegahan perkara-perkara yang boleh mendatangkan unsur negatif.

"Tindakan itu baik dan menepati syarat malah akan memberi keselesaan kepada golongan lelaki dan wanita untuk menonton wayang.

"Jadi, Pas tidak teragak-agak untuk mencadangkan langkah yang baik untuk dilaksanakan di Pahang...itu pun jika Kerajaan Pahang bersetuju," katanya ketika dihubungi Sinar Harian.

Sebelum ini, Kerajaan Terengganu mengumumkan pengasingan jantina dalam pawagam seperti ditetapkan bermula 4 Julai lalu.

Menteri Besar Terengganu, Datuk Seri Dr Ahmad Samsuri Mokhtar berkata, kerajaan negeri tidak akan melonggarkan peraturan dan garis panduan itu meskipun ada desakan daripada pelbagai pihak.

Mengulas lanjut, Rosli berkata, pelaksanaan peraturan itu termasuk sad-az-zara’i’ iaitu menyekat perkara yang boleh mendatangkan mudarat lebih besar.

Justeru katanya, sebelum timbulnya pelbagai masalah sosial, pihak berkuasa perlu menyekat perkara yang mendorong pergaulan bebas.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus