Sarjan wanita didakwa terima suapan RM1,500

 Tertuduh (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
Tertuduh (kiri) ketika dibawa ke Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini.
A
A
A

IPOH - Seorang anggota polis berpangkat sarjan mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen Ipoh hari ini atas pertuduhan menerima suapan berjumlah RM1,500 tahun lalu.

Tertuduh, Raja Nur Hasliza Raja Zainal Abidin, 25, didakwa melakukan kesalahan terbabit sebagai dorongan untuk menghapuskan bukti satu kes judi yang disiasatnya.

Ketika kejadian, tertuduh baharu sahaja tiga bulan bertugas.

Mengikut pertuduhan, penjawat awam yang bertugas di Cawangan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh itu telah secara rasuah memperoleh suatu suapan wang tunai sebanyak RM1,500 daripada individu bernama Woo Kin Soon.

Kesalahan itu dilakukan di Bahagian Siasatan Jenayah Balai Polis Kampung Tawas di dalam daerah Kinta pada jam lebih kurang 3.11 petang, 10 Julai 2019.

Tertuduh didakwa mengikut kesalahan di bawah Seksyen 17 (a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009 dan boleh dihukum di bawah Seksyen 24 (1) akta sama yang jika disabitkan kesalahan, boleh dihukum penjara tidak lebih 20 tahun dan denda tidak kurang lima kali ganda nilai suapan atau RM10,000 mengikut mana yang lebih tinggi.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Nurul Wahida Jalaluddin dan tertuduh diwakili Peguam Nik Mohamed Ikhwan Nik Mahamud.

Hakim S Indra Nehru kemudiannya menetapkan jaminan sebanyak RM10,000 dan tertuduh perlu melapor diri ke pejabat SPRM setiap bulan.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah menetapkan 26 Ogos depan sebagai sebutan semula kes.