Ribut rebut kerusi menjelang PRU15

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (berdiri di depan, tengah) bersama pemimpin-pemimpin parti komponen dalam Perikatan Nasional.
Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin (berdiri di depan, tengah) bersama pemimpin-pemimpin parti komponen dalam Perikatan Nasional.
A
A
A

Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15) yang disebut-sebut semakin dekat mula menguji ketahanan, strategi dan persiapan barisan parti-parti bertanding terutamanya gagasan Perikatan Nasional (PN) dan Pakatan Harapan (PH).

Kedua-dua gagasan politik itu mempunyai matlamat sama untuk menawan Putrajaya, namun kedua-duanya mempunyai masalah dalaman yang tersendiri iaitu PH dengan calon Perdana Menterinya dan PN pula dari segi agihan kerusi terutamanya antara UMNO, Pas dan Parti Pribumi Bersatu (Bersatu).

Terbaru, Tun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan beliau bersama enam ahli Parlimen yang setia dengannya serta parti Warisan akan membentuk blok Bebas.

Pada PRU14 lalu, UMNO bertanding di 121 kerusi Parlimen manakala Pas meletakkan calon Parlimen paling ramai iaitu di 160 kerusi. Bersatu pula bertanding di 50 kerusi Parlimen.

Majoriti calon daripada ketiga-ketiga parti itu bertembung pada pilihan raya umum lalu dengan 54 kerusi Parlimen dimenangi UMNO, 18 kerusi Parlimen dimenangi Pas dan Bersatu pula memperoleh 10 kerusi Parlimen.

Menariknya lagi, pada PRU14 lalu adalah pertama kali dalam sejarah negara apabila 107 kerusi Parlimen terlibat dalam pertandingan tiga penjuru, kebanyakannya membabitkan kawasan majoriti pengundi Melayu.

Dengan isu agihan kerusi yang semakin panas, apakah jalan terbaik bagi menyelesaikan isu ini? Sebelum kemasukan Bersatu, parti UMNO dan Pas sudah pun membuat piagam bersama dan mewujudkan Muafakat Nasional (MN) bagi persiapan menghadapi PRU15.

UMNO dan Pas dilihat tiada masalah sangat dari segi agihan kerusi kerana kedua-dua parti itu mempunyai kawasan tradisi sendiri. Dalam persefahaman dan formula MN, jika kerusi tradisi Pas tetapi kekuatan memihak kepada UMNO, maka UMNO yang akan bertanding dan begitu juga sebaliknya.

Artikel Berkaitan:

Di sini bermulanya isu apabila Bersatu masuk ke dalam persiapan PRU15 MN. Sebelum ini kecoh sebentar apabila Bersatu didakwa mahu mengekalkan 50 kerusi ditandinginya namun ia dinafikan oleh Ketua Pemuda UMNO, Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki.

Isu itu dihangatkan lagi apabila Setiausaha Agung UMNO, Tan Sri Annuar Musa memberikan bayangan bahawa Barisan Nasional (BN) tidak akan bertolak ansur mengenai kerusi mereka pada PRU14 yang lalu dan kerusi yang dimenangi selepas itu.

“Barisan Nasional berhasrat mempertahankan semua kerusi tradisinya sama ada yang dimenanginya (pada) PRU14 atau yang dimenangi pilihan raya kecil (PRK) kemudiannya,” kata beliau.

Pantai Timur

Baru-baru ini tular video Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad yang mendakwa UMNO sudah ‘tidak laku’ di Sabah.

Ekoran itu beliau dikecam oleh pemimpin-pemimpin UMNO termasuklah Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi yang menegaskan UMNO akan meletakkan calon di Parlimen Mersing pada PRU15.

Dr Abdul Latiff memenangi kerusi berkenaan atas tiket UMNO, namun meninggalkan UMNO untuk menyertai Bersatu. Beliau yang juga Menteri Pembangunan Luar Bandar mewakili Parlimen Mersing sejak 1999 sudah pun meminta maaf atas kenyataan panas tersebut.

Pada PRU14 lalu, Bersatu langsung tidak memenangi sebarang kerusi Dewan Undangan Negeri (DUN) dan Parlimen di Kelantan, Terengganu dan Pahang. Mereka cuma mendapat dua kerusi Parlimen di Jeli dan Tanah Merah selepas ahli Parlimennya melompat ke dalam Bersatu daripada UMNO.

Sebanyak 16 daripada 34 kerusi Parlimen yang ditandingi Bersatu di tiga negeri Pantai Timur hanya mendapat undi 101,488 daripada 884,773 jumlah undi, menjadikan undi popular Bersatu di Pantai Timur hanya 11.5 peratus.

Berdasarkan data itu, Pas dan UMNO mungkin sukar untuk menyerahkan beberapa kerusi mereka di negeri Pantai Timur kepada Bersatu.

Pensyarah Undang-undang Universiti Islam Antarabangsa Malaysia (UIAM), Profesor Dr Nik Ahmad Kamal Nik Mahmood berkata, Pas dan UMNO sudah pasti akan mempertahankan semua kerusi Parlimen dan DUN yang dimenangi mereka di Pantai Timur.

Kata Nik Ahmad Kamal lagi, Bersatu tidak mempunyai akar umbi yang kuat di negeri-negeri itu dan sukar bagi MN untuk berkompromi.

“Jika Pas atau UMNO menyerahkan kerusi kepada Bersatu pun ia adalah melalui konsesi atau perjanjian,” katanya.

Katanya lagi, BN sekarang dilihat tidak sabar-sabar mahu membubarkan Parlimen bagi menyelesaikan secara muktamad jurang kerusi yang tipis antara PN dan PH.

“UMNO dan Bersatu perlu segerakan rundingan mereka. Saya juga lihat Bersatu tidak banyak pilihan.

“Ada kerusi yang sekarang dimiliki Bersatu juga UMNO mahukan sebab itu kawasan tradisi mereka.

“Saya lihat kalau tiada kompromi, mungkin ada pertandingan tiga penjuru antara UMNO, Bersatu dan PH,” katanya.

Bagi menyelesaikan isu itu, UMNO dan Bersatu perlu duduk berbincang jika mahukan logo Perikatan Nasional digunakan dalam PRU15 nanti. Lainlah jika UMNO dan Pas di bawah MN sudah mempunyai persiapan tersendiri dan tidak mahu kerusi yang telah disusun diagihkan sekali lagi bersama Bersatu.

Perlu formula terbaik

Jika itu senarionya, Bersatu tiada cara lain sama ada bertanding di atas kerusi sendiri namun Bersatu agak sukar untuk menang. Atau Bersatu dibubarkan dan ahlinya diserapkan ke dalam UMNO.

Namun kedua-dua parti itu perlu membuat satu perjanjian, iaitu selepas ahli Bersatu diserapkan ke dalam UMNO, UMNO perlu mengadakan pemilihan pucuk pimpinan parti dan membenarkan pemimpin daripada Bersatu bertanding.

Jika bekas pemimpin Bersatu boleh menang, maka merekalah menjadi pemimpin UMNO.

Selepas pemilihan UMNO berlangsung, maka tiada masalah lagi dari segi agihan kerusi dan Perdana Menteri boleh membubarkan Parlimen bagi memberi laluan kepada PRU15.

Satu lagi pilihan ialah Bersatu kembali kepada PH.

Dalam politik segalanya boleh menjadi kenyataan. Contohnya jelas di depan mata apabila tanpa disangka PH tumbang mengejut pada Februari lalu.

Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin berkata, terdapat beberapa formula yang boleh digunakan antaranya UMNO, Bersatu dan Pas mengekalkan kawasan dimenangi atau meletakkan calon daripada parti terkuat di kawasan tersebut.

Katanya, bagi kerusi di mana ahli Parlimennya melompat parti, parti yang perlu bertanding di kawasan itu adalah daripada parti terakhir mewakilinya sebelum PRU15 berlangsung.

“Sekarang adalah tahap bertikam lidah dan tunjuk taring. Saya yakin bila hendak pilihan raya semua pihak akan duduk berunding untuk mencari jalan penyelesaian terbaik,” katanya.

Pengerusi UMNO Perak, Datuk Saarani Mohamad pula mencadangkan agar Bersatu dibubarkan dan keseluruhan ahlinya kembali menyertai UMNO.

Katanya, cadangan agar UMNO dan Bersatu bergabung di bawah satu gagasan supaya tidak ada pertandingan tiga penjuru pada PRU15 nanti adalah sukar dilaksanakan.

“Jika orang Bersatu berjiwa besar, dia pun ada masalah, parti mereka kecil. Jadi bubar Bersatu, semua ahli Bersatu marilah masuk UMNO. Tapi tak boleh pegang jawatan lagilah, kena tunggulah.

“Tahun depan ada pemilihan UMNO bertandinglah. Kalau menang, menanglah,” katanya.

Apapun, UMNO dan Pas sudah serik dengan pertandingan tiga penjuru seperti yang berlaku pada PRU14.

Pastinya mereka akan mencari jalan agar pertembungan satu lawan satu dengan PH pada PRU15.

Isu Melibatkan Agihan Kerusi April 2020 - UMNO dan Bersatu Johor didakwa berbalah mengenai agihan kerusi dan UMNO Johor mengugut akan membubarkan DUN jika isu itu tidak diselesaikan.

Jun 2020 - MCA menegaskan parti itu akan mempertahankan Parlimen Tanjung Malim walaupun ada cadangan kerusi itu diserahkan kepada UMNO.

Julai 2020 - Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi bertegas UMNO akan bertanding di Parlimen Mersing selepas ahli Parlimennya daripada Bersatu, Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad mendakwa UMNO ‘tidak laku’ di Sabah.