Tiada rebut kerusi, 'cah keting' dalam PN di Terengganu

Proses agihan kerusi PN di Terengganu selesai sepenuhnya dan dilakukan secara adil dengan mendapat kata sepakat bersama. (Gambar kecil: Ariffin)
Proses agihan kerusi PN di Terengganu selesai sepenuhnya dan dilakukan secara adil dengan mendapat kata sepakat bersama. (Gambar kecil: Ariffin)
A
A
A

MARANG - Tiada berlaku sebarang perebutan kerusi atau budaya cah keting dalam kalangan rakan gabungan parti Perikatan Nasional (PN) di Terengganu.

Pengarah Pilihan Raya Pas Terengganu, Ariffin Deraman berkata, proses agihan kerusi telah selesai sepenuhnya dan dilakukan secara adil dengan mendapat kata sepakat bersama.

"Proses agihan kerusi PN di Terengganu telah selesai, tiada masalah. Cuma jumlah berapa itu adalah rahsia. Saya tiada hak untuk cerita dulu.

"Tidak sebagaimana pihak sana (BN, PH). Mereka bergaduh, kami sudah selesai dan terima dengan istilah kalau Bersatu (Parti Pribumi Bersatu Malaysia) dia (mereka) terima dengan seadanya lah.

"Kalau banding dengan negeri lain. Bersatu mereka tiada asas lagi di sini, jadi kita timbang semua sekali insya-ALLAH, ada kerusi-kerusi untuk mereka," katanya.

Ariffin ditemui pemberita selepas menyempurnakan majlis penyerahan borang 5A Rancangan Tanah Berkelompok Kediaman (RTB) Dewan Undangan Negeri (DUN) Alur Limbat di sini pada Khamis.

Jelas beliau, jentera Pas turut akan membantu dalam memberikan kemenangan kepada calon-calon Bersatu.

"Dalam PN langsung tiada budaya cah keting. Setakat ini, saya sudah berikrar untuk membantu rakan-rakan kita daripada Bersatu untuk membawa kemenangan kepada mereka.

"Insya-ALLAH (ini ikrar) saya selaku Pengarah Pilihan Raya. Mereka pun gembira. Kita akan bantu sehingga mereka menang dalam PRN nanti," katanya.

Dalam pada itu, Ariffin berkata, titah Sultan Terengganu, Sultan Mizan Zainal Abidin yang baru-baru ini meminta supaya kesemua parti yang bertanding menggunakan pendekatan kempen secara berhemah akan dijadikan keutamaan.

"Strategi kempen kita berpandukan fakta. Itu disiplin kita dari dulu dan kita tak boleh berkempen jika tiada fakta. Kalau ada penceramah kita yang bawah-bawah itu, kalau ada kesilapan fakta kita akan tegur.

"Sama juga dengan budaya caci-mencaci, kalau lihat dari mula kita jadi kerajaan, kita hampir-hampir tidak menyerang BN. Cuma, bila dah ada sikit-sikit tu, adalah... Dekat pilihan raya ia sesuatu yang biasa," katanya.

Terdahulu, suhu politik di Terengganu agak panas apabila Pengerusi UMNO Terengganu, Datuk Seri Ahmad Said dan Pengerusi Pakatan Harapan (PH) Terengganu, Datuk Raja Kamarul Bahrin Shah Raja Ahmad saling berbalas kenyataan berhubung proses agihan kerusi melibatkan parti komponen gabungan itu.

Keadaan itu bermula setelah Ahmad mengulas kenyataan Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) PKR Terengganu dan Kelantan, Nik Nazmi Nik Ahmad yang secara terbuka mengatakan parti itu yakin boleh menang di beberapa kerusi yang telah dikenal pasti di Terengganu.

ARTIKEL BERKAITAN:

PKR Terengganu optimis tawan beberapa kerusi DUN - Nik Nazmi

Usah perkecil peranan rakan gabungan - Raja Bahrin

'Pertarungan' sebenar di Terengganu antara UMNO, Pas - Ahmad