X

Kindly register in order to view this article
!

Usul singkir Speaker tentukan kekuatan Muhyiddin: Kadir Jasin

Kadir Jasin
A
A

SHAH ALAM - Sidang Dewan Rakyat esok melakar sejarah tersendiri apabila bakal menyaksikan berlakunya dua perkara ‘luar biasa’ iaitu mengenai kedudukan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Tan Sri Mohamad Ariff Md Yusof dan Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin.

Tokoh wartawan veteran, A Kadir Jasin dalam blognya hari ini berkata, berkemungkinan juga ada perkara 'luar biasa' ketiga susulan pembentukan blok pengundian baharu membabitkan bekas Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad bersama enam Ahli Parlimen ‘Bersatu’ dan sembilan Ahli Parlimen Parti Warisan Sabah (Warisan) serta seorang Ahli Parlimen Pertubuhan Kinabalu Progresif Bersatu (UPKO).

Beliau yang juga Ahli Majlis Tertinggi Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) berkata, seperti dilaporkan secara meluas, Muhyiddin mengemukakan usul penyingkiran Mohamad Ariff sementara Dr Mahathir akan meneruskan usulnya untuk menyingkirkan Muhyiddin.

“Sejak dilantik pada 2 Mac lalu (sebagai Perdana Menteri), Muhyiddin telah memecat orang-orang dilantik kerajaan Pakatan Harapan (PH) yang kebanyakan adalah profesional dan menggantikan dengan orang-orangnya, yang kebanyakan adalah ahli politik. Ini cara dia membeli sokongan.

“Mohamad Ariff, bekas hakim Mahkamah Rayuan dilantik pada 17 Julai 2018 setelah kemenangan PH pada Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

“Yang juga mahu disingkirkan ialah salah seorang daripada dua Timbalan Speaker, Nga Kor Ming, Ahli Parlimen PH (DAP) Teluk Intan. Yang lain, Mohd Rashid Hasnon, Ahli Parlimen PH (PKR) Batu Pahat nampaknya tidak terjejas,” ujarnya.

A Kadir berkata, banyak laporan mengatakan Muhyiddin mencalonkan bekas Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR), Datuk Azhar Harun untuk jawatan Speaker dan Ahli Parlimen Pengerang, Datuk Azlina Othman Said dari UMNO sebagai pengganti Kor Ming.

Menurutnya, Azhar meletak jawatan sebagai Pengerusi SPR pada 29 Jun lalu yang sebelum ini dilantik oleh kerajaan Pakatan Harapan ketika Muhyiddin memegang jawatan Menteri Kanan.

“Nampaknya beliau akan dapat meneruskan kebebasan penyandang jawatan tersebut tetapi ia menimbulkan kebimbangan kerana hanya empat bulan yang lalu, Muhyiddin telah mencalonkan abang Azhar, Tan Sri Idrus Harun sebagai Peguam Negara.

“Dua perkara perlu dipertimbangkan. Pertama, buat julung kali Perdana Menteri sedang berusaha menyingkirkan Speaker.

“Kedua, usul itu dapat digunakan untuk menunjukkan keyakinan kepada Perdana Menteri atau secara tidak langsung sebagai undi tidak percaya terhadapnya bergantung kepada undian anggota Parlimen,” katanya.

A Kadir mengingatkan kembali pengakuan Muhyiddin dalam siaran langsung di televisyen pada 27 Mac lalu bahawa kerajaan sekarang bukan kerajaan yang rakyat undi.

Ujarnya lagi, rakan sekutu Muafakat Nasional, Presiden Pas, Datuk Seri Abdul Hadi Awang lebih jujur apabila menggambarkan kerajaan Perikatan Nasional sebagai kerajaan 'tebuk ikut atap'.

“Menurut laporan media, Dr Mahathir telah berjaya mengemukakan usul tidak percaya terhadap Muhyiddin. Ia sepatutnya didengarkan pada persidangan sesi lepas.

“Tetapi Muhyiddin berjaya menghalangnya dengan menghadkan sesi persidangan menjadi satu hari untuk Titah Diraja sahaja.

“Sekarang banyak spekulasi mengatakan Muhyiddin meminta penyingkiran Mohamad Ariff kerana dia (Mohamad Ariff) menerima usul Dr Mahathir. Sekiranya dia kekal di jawatan tersebut, Mohamad Ariff mungkin mempermudahkan pembentangan usul terbabit,” katanya.

Menurut A Kadir, usul menyingkirkan Mohamad Ariff tidak semudah itu kerana Muhyiddin bakal berdepan anggota Parlimen yang mungkin tidak setuju.

Sekiranya ini berlaku, katanya, kedudukan Muhyiddin sebagai Perdana Menteri akan tergugat kerana ia secara tidak langsung ditafsirkan sebagai undi tidak percaya tidak langsung terhadap Muhyiddin.

“Sebaliknya, jika dia berjaya menyingkirkan Mohamad Ariff manakala Azhar dilantik, kedudukannya menjadi lebih kuat dan usul tidak percaya daripada Dr Mahathir melalui jalan yang lebih sukar.

“Tetapi walau apa pun keputusannya,objektif akhir tetap untuk kebaikan negara dan rakyat lebih-lebih lagi ketika kita memasuki fasa pemulihan wabak Covid-19 serta membangunkan semula ekonomi," katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus