Pengarah pasar raya didenda RM340,000 gaji PATI

Lian Keng (baju biru) membuat pembayaran selepas didenda RM340,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah kerana menggaji 68 pendatang tanpa izin.
Lian Keng (baju biru) membuat pembayaran selepas didenda RM340,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah kerana menggaji 68 pendatang tanpa izin.
A
A
A

ALOR GAJAH - Seorang pengarah sebuah pasar raya didenda RM340,000 oleh Mahkamah Sesyen Alor Gajah di sini, hari ini kerana menggaji 68 pekerja asing yang tidak memiliki pas pekerjaan yang sah.

Datuk Chiew Lian Keng, 56, mengaku salah terhadap pertuduhan mengikut Seksyen 55E(1) Akta Imigresen 1956 yang dibacakan di hadapan Hakim Ahmad Sazali Omar.

Berdasarkan pertuduhan, Liang Keng didakwa membenarkan 68 pendatang asing tanpa izin iaitu 51 lelaki warganegara India, 11 lelaki Pakistan, dua lelaki Bangladesh, seorang lelaki Nepal dan tiga lelaki warga Myanmar memasuki premis kendaliannya.

Kesalahan itu dilakukan di pasar raya borong NSK Trade City No.19395 Jalan TTC 26, Taman Teknologi Cheng Daerah Melaka Tengah lebih kurang jam 4 petang, 22 Januari lalu.

Dia turut berdepan hukuman 68 bulan penjara sekiranya gagal melunaskan denda tersebut.

Tertuduh juga boleh dihukum mengikut Seksyen 55E(2) akta sama yang membawa hukuman denda RM5,000 hingga RM30,000 atau penjara sehingga 12 bulan atau kedua-duanya bagi setiap pendatang tanpa izin dijumpai di premis.

Pendakwaan dikendalikan Pegawai Pendakwa Jabatan Imigresen Malaysia Melaka, Nuratika Aman manakala tertuduh diwakili peguam, Zaflee Pakwanteh.

Ahmad Sazali dalam penghakimannya berkata, sebagai seorang pengarah syarikat, tertuduh perlu mengambil tahu berhubung proses pengambilan pekerja selain memastikan proses itu diurus dengan baik agar perkara seumpama itu tidak berlaku.

Artikel Berkaitan:

Mahkamah mengenakan hukuman denda RM5,000 atau sebulan penjara bagi setiap pendatang tanpa izin atau keseluruhan RM340,000 atau 68 bulan penjara.