'Abdul Latiff patut berterima kasih pada UMNO'

Gambar dari kiri: Mohd Youzaimi Yusof, Abdul Latiff Ahmad
Gambar dari kiri: Mohd Youzaimi Yusof, Abdul Latiff Ahmad
A
A
A

MERSING - Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad perlu sedar dan muhasabah diri bahawa kemenangan beliau sebagai Ahli Parlimen Mersing selama empat penggal berturut-turut dimenanginya atas tiket UMNO.

Ketua UMNO Bahagian Mersing, Mohd Youzaimi Yusof berkata, itu adalah satu hakikat yang Abdul Latiff perlu akui malah harus berterima kasih kepada UMNO dan Barisan Nasional (BN) dan bukan mengkhianatinya.

Mohd Youzaimi yang juga bekas kakitangan Ahli Parlimen Mersing itu selama 15 tahun berkata, jika tidak kerana UMNO dan BN memberi laluan sudah tentu Abdul Latiff tidak mampu mencapai kedudukan politik seperti sekarang ini.

Justeru katanya, kenyataan Abdul Latiff bahawa UMNO tidak laku di Sabah tidak boleh diterima sama sekali terutama UMNO Bahagian Mersing.

"Saya berasa sungguh sedih kerana saya tidak menyangka orang yang selama ini banyak mengajar saya terutamanya dalam politik telah terpesong daripada landasan sebenar politik yang baik.

"Adalah sama sekali tidak patut Datuk (Abdul Latiff) sebagai orang yang telah lama dalam UMNO dan BN mengeluarkan beberapa kenyataan yang sangat-sangat tidak boleh diterima ahli-ahli UMNO akar umbi terutamanya di Mersing," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Abdul Latiff yang juga pemimpin Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) sebelum ini membuat kenyataan itu yang merujuk kepada konteks politik di Sabah dalam sebuah forum terbuka sebelum menjadi tular dalam media sosial.

Semalam beliau memohon maaf dan menjelaskan perkara itu sudah disalah anggap selain bersifat peribadi serta tidak mewakili Bersatu.

Artikel Berkaitan:

Abdul Latiff mengumumkan keluar UMNO dan menyertai Bersatu bersama-sama enam lagi Ahli Parlimen UMNO pada tahun lalu susulan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Endau, Alawiyah Talib mengambil langkah sama selepas Pilihan Raya Umum ke-14.

Mengulas lanjut, Mohd Youzaimi berkata, Abdul Latiff sepatutnya cakap serupa bikin seperti pernah diucapkannya di Felda Tenggaroh 3 dekat sini kira-kira dua tahun lalu semasa masih dalam UMNO iaitu akan letak jawatan jika melompat parti.

"Sebagaimana dalam ucapan Datuk (Abdul Latiff) di hadapan ahli-ahli UMNO sebelum Datuk melompat ke Parti Bersatu yang mana Datuk akan meletakkan jawatan dahulu sebagai Ahli Parlimen Mersing kalau Datuk nak melompat, Datuk kena tunaikan.

"Saya menyeru Datuk sebagai bekas bos saya, berpijaklah di bumi yang nyata dan akuilah Parlimen Mersing adalah kubu kuat UMNO dan BN. Datuk hanya sementara dan menghabiskan penggal ini. Kerusi Parlimen Mersing ini hak UMNO dan BN yang mutlak," katanya.

ARTIKEL BERKAITAN UMNO parti tak laku: Abdul Latiff digesa letak jawatan