X

Kindly register in order to view this article
!

Rukun Negara 'wajah' kehidupan rakyat Malaysia

Masyarakat Malaysia hidup dalam keadaan kesepaduan sosial, aman serta harmoni, yang pastinya melahirkan bibit-bibit perpaduan. - Foto 123RF
A
A

KUALA LUMPUR - Hidup dalam suasana aman dan damai, saling hormat-menghormati, mesra bekerjasama antara satu sama lain malah teguh bersatu ketika negara dilanda konflik serta patuh kepada undang-undang negara.

Itu antara keunikan dan keistimewaan rakyat Malaysia yang berbilang bangsa, agama dan latar budaya.

Walaupun tidak dinafikan ada ketikanya ‘gelora’ melanda namun ia tidaklah sehingga menghancurkan ikatan erat hubungan antara kaum yang telah terjalin sekian lama.

Refleksi kehidupan seharian

Ironinya, fenomena ini dalam keadaan sedar atau tidak sebenarnya, turut memberi refleksi penghayatan serta pengamalan lima prinsip Rukun Negara yang menjadi tunjang perpaduan rakyat Malaysia.

Kelima-lima prinsip itu, iaitu Teras Kepercayaan Kepada Tuhan, Kesetiaan Kepada Raja Dan Negara, Keluhuran Perlembagaan, Kedaulatan Undang-Undang serta Kesopanan Dan Kesusilaan, semuanya dizahirkan melalui perbuatan secara langsung, mahupun tidak langsung.

Menurut Pensyarah Jabatan Pengajian Kenegaraan dan Ketamadunan, Fakulti Ekologi Manusia, Universiti Putra Malaysia, Profesor Madya Dr Mohd Mahadee Ismail, tidak keterlaluan untuk menyatakan bahawa Rukun Negara ibarat ‘wajah’ kehidupan rakyat Malaysia.

“Dalam satu keadaan, memang agak sukar untuk mengaitkan kehidupan harian dengan apa yang terkandung dalam Rukun Negara namun jika diamati secara tersirat dan tersurat, corak kehidupan rakyat Malaysia sememangnya berkait rapat dengan kelima-lima prinsip berkenaan,” katanya kepada Bernama.

Beliau ditemubual menjelang sambutan ulang tahun ke-50 Rukun Negara, yang dijadual dilancarkan esok, Khamis 9 Julai, bersempena sambutan Bulan Kemerdekaan dan Hari Kebangsaan 2020.

Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin dijangka melancarkan sambutan itu di Putrajaya.

Tidak menolak bahawa beberapa insiden yang berlaku sebelum ini boleh menggugat keharmonian hubungan kaum di negara ini, Mohd Mahadee bagaimanapun berkata, ia hanyalah isu terpencil dan melibatkan segelintir pihak yang tidak bertanggungjawab.

Biarpun ada ada pihak yang berpendapat Rukun Negara ‘semakin jauh’ dan dilupakan terutama dalam kalangan generasi muda hari ini, namun semuanya berbalik kepada cara setiap individu menilai satu-satu isu.

“Jika kita melihat dari sudut negatif, maka banyaklah masalah serta kekurangan yang akan kita jumpa. Mengapa perkara yang baik tidak dihebahkan sebaliknya isu picisan pula sengaja dibesar-besarkan seolah-olah itulah ‘rupa’ masyarakat Malaysia?

“Kita sepatutnya mengangkat nilai-nilai murni yang didukung oleh sebahagian besar masyarakat untuk dijadikan contoh.

“Antaranya, semangat kejiranan yang tinggi walaupun berbeza kaum, sikap murah hati rakyat Malaysia menghulurkan bantuan kepada yang memerlukan tanpa mengira batas agama dan beberapa perkara lain yang boleh dijadikan panduan oleh semua pihak,” jelasnya sambil menambah kepelbagaian dalam masyarakat wajar diangkat sebagai tonggak kekuatan negara.

Bersatu tangani Covid-19

Mengambil contoh kejayaan Malaysia menangani pandemik koronavirus (Covid-19), Mohd Mahadee berkata kepatuhan rakyat terhadap arahan Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) boleh disifatkan sebagai antara pengamalan prinsip Rukun Negara.

“Pematuhan rakyat terhadap arahan PKP supaya kekal duduk di rumah adalah antara 95 hingga 97 peratus. Tidak ada sebarang demonstrasi yang menuntut PKP ditamatkan segera dan tidak ada pihak yang sengaja melahirkan ‘hate speech’ atau perasaan kebencian yang menyebabkan masyarakat tidak berpuas hati dengan tindakan kerajaan.

“’Ketaatan’ tanpa sedar ini membuktikan masyarakat Malaysia sebenarnya mempunyai tahap disiplin yang tinggi sehingga negara berjaya menangani krisis yang pertama kali berlaku dalam sejarah dengan sangat baik bahkan diiktiraf dunia,” katanya, sambil menambah kejayaan itu pasti sukar dicapai tanpa sokongan padu seluruh masyarakat.

Memetik kata-kata Pengarah Pengasas Institut Kajian Etnik (KITA) Universiti Kebangsaan Malaysia, Profesor Ulung Datuk Dr Shamsul Amri Baharuddin, Mohd Mahadee berkata secara umumnya, masyarakat Malaysia hidup dalam keadaan kesepaduan sosial, aman serta harmoni, yang pastinya melahirkan bibit-bibit perpaduan.

“Rata-rata rakyat tanpa mengira latar belakang dan keturunan telah saling menerima, mengiktiraf perbezaan dan berlapang dada untuk berkongsi hidup secara bersama. Meskipun perpaduan utuh belum dicapai namun kita hidup dalam keadaan tenteram dan bebas ke mana-mana tanpa rasa bimbang ancaman daripada mana-mana pihak.

“Jika berlaku salah faham atau pergeseran pun, saya kira ia adalah ‘adat’ (normal) kita hidup dalam kepelbagaian kaum di Malaysia ini. Sedangkan adik-beradik dan sesama kawan pun boleh timbul isu, jadi mustahil dalam konteks Malaysia dengan masyarakat yang rencam ini tidak ada langsung pergeseran. Namun yang utama, jangka hayat damai adalah lebih panjang berbanding jangka hayat konflik.

“Dalam hal ini juga kerajaan dan pihak terlibat khususnya pihak berkuasa tempatan dan polis cekap menjalankan tugas dan segera bertindak sekiranya ‘terhidu’ bau kurang harmoni bagi memastikan permasalahan yang terjadi dapat dibendung sebelum merebak menjadi api yang besar,” katanya.

Pendidikan jadi asas

Berkongsi kajian beliau pada tahun 2009 yang bertajuk “Penghayatan Semangat Patriotisme Dan Nasionalisme: Pelatih Program Khidmat Negara (PLKN), yang turut menjadikan Rukun Negara sebagai kayu ukur, lebih 88 peratus golongan belia remaja daripada 1,010 responden didapati mengetahui dan memahami kepentingan Rukun Negara.

Mengakui dari aspek penghayatan memang ada ‘turun naik’ bergantung kepada situasi semasa yang berlaku dalam negara, beliau berkata untuk itu, tindakan berterusan perlu dilakukan bagi menyemai dan menyemarak prinsip Rukun Negara dalam kalangan rakyat di semua peringkat.

“Dalam hal ini, saya melihat teras utamanya ialah melalui pendidikan, baik di peringkat sekolah rendah sehinggalah ke peringkat univerisiti. Di universiti sebagai contoh, saya mengajar subjek Kenegaraan Malaysia yang di dalamnya mengandungi unit khusus membincangkan perihal Rukun Negara.

“Kelab Rukun Negara di sekolah dan Sekretariat Rukun Negara di universiti perlu dimantapkan dengan lebih banyak program yang memberangsangkan agar menarik minat dan penglibatan generasi muda.

“PLKN juga sebenarnya platform terbaik dalam memupuk semangat patriotik dalam kalangan remaja namun pengisiannya perlu lebih fokus dan tidak diganggu dengan program tambahan lain yang dibimbangi akan menjejaskan objektif sebenarnya,” katanya sambil menambah media turut memainkan peranan penting untuk menyuburkan kembali program berkisar Rukun Negara baik secara langsung atau tidak langsung.

Mohd Mahadee dalam masa sama turut berkongsi bahawa laporan Indeks Kedamaian Dunia 2020 menunjukkan Malaysia berada di kedudukan ke-20 daripada 163 negara yang mempunyai tahap keamanan yang tinggi di dunia.

Tiga tema yang dinilai ialah tahap keselamatan dalam masyarakat, tahap konflik domestik dan antarabangsa serta tahap ketenteraan di samping dua elemen tambahan iaitu analisis kesan ekonomi dalam menangani keganasan dan Indeks Keamanan Positif yang mengukur kekuatan sikap, institusi dan struktur negara dalam mengekalkan persekitaran yang aman.

Tindak balas positif

Sementara itu, Pemuda Negara Parlimen Sungai Buloh, sebuah pertubuhan bukan kerajaan untuk anak muda menyumbang idea, bakti dan tenaga kepada masyarakat, berpandangan, rakyat di negara ini semakin memahami intipati prinsip Rukun Negara.

Ini boleh dilihat melalui sikap prihatin mereka terhadap isu-isu yang melibatkan perpaduan dan keharmonian masyarakat.

Ketua Pemudanya, Muhammad Hafiz Hood berkata, apabila ada pihak mempermainkan isu yang melibatkan asas pembinaan jati diri rakyat Malaysia, sebagai contoh, menghina institusi raja, tidak mematuhi undang-undang terutama melibatkan perkara yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan, sengaja mewujudkan provokasi dalam masyarakat, lebih ramai rakyat akan bangkit memberi respons dan menentang mereka.

“Masyarakat semakin peka dan matang serta mahu negara berada dalam keadaan aman dan harmoni. Terdapat beberapa insiden memperlihatkan rakyat memberi tindak balas, sama ada melalui kritikan di media sosial ataupun melalui perbuatan mereka memboikot golongan tertentu apabila pihak tersebut sengaja mencetuskan perkara yang boleh mengundang suasana yang tidak baik.

“Dalam hal ini secara tidak langsung, rakyat semakin memahami dan mengamalkan konsep bahawa jati diri negara bukanlah untuk dijadikan bahan ketawa atau dipermainkan sesuka hati oleh mana-mana pihak,” katanya yang juga merupakan peguambela dan peguamcara.

Beliau menegaskan, sikap toleransi, hormat-menghormati dan saling menyantuni antara satu kaum dengan kaum yang lain, perlu dipupuk sejak kecil kerana ia dapat menyumbang kepada pembentukan jati diri masyarakat Malaysia yang berjiwa besar untuk menghargai nilai kebersamaan yang dimiliki selama ini. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus