X

Kindly register in order to view this article
!

Perak benar solat Jumaat di surau

Kenyataan media yang dikeluarkan MAIPk hari ini.
A
A

IPOH - [DIKEMASKINI] Semua surau di Perak yang berdaftar dengan Majlis Agama Islam dan Adat Melayu Perak (MAIPk) dibenar melaksanakan solat Jumaat sepanjang tempoh Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) bermula 10 Julai ini.

Ketua Pegawai Eksekutif MAIPk, Shahrul Azam Shaari berkata, perkara itu mendapat perkenan Sultan Perak, Sultan Nazrin Muizzuddin Shah setelah menimbang sembah nasihat daripada Jawatankuasa Fatwa Negeri Perak serta merujuk garis panduan Majlis Keselamatan Negara dan Kementerian Kesihatan.

Menurutnya, kebenaran tersebut turut diberikan kepada surau-surau institusi pendidikan, kem tentera, berek-berek Polis Diraja Malaysia (PDRM), jabatan dan pejabat-pejabat kerajaan yang mempunyai ruang keluasan solat yang sesuai bagi memenuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan.

"Bilangan ahli solat Jumaat di surau berkenaan berasaskan had kapasiti keluasan sebenar ruang utama dewan solat dengan mengambil kira SOP yang menetapkan jarak satu meter antara jemaah.

"Jabatan Agama Islam Perak (JAIPk) akan mengeluarkan syarat dan kriteria berserta garis panduan yang perlu dipenuhi oleh sesebuah surau untuk menganjurkan solat Jumaat," katanya dalam satu kenyataan media hari ini.

Sementara itu, kehadiran jemaah bagi menunaikan solat Jumaat setakat ini hanya dibenarkan kepada warganegara sahaja selain identiti jemaah yang hadir perlu disemak dan direkodkan sebelum dibenar masuk ke ruang solat.

Beliau berkata, pihak JAIPk akan mengeluarkan senarai surau yang mematuhi kriteria untuk melaksanakan solat Jumaat semasa tempoh PKPP.

Dalam perkembangan lain, Shahrul Azam berkata, amalan-amalan tambahan yang beriringan dengan solat fardu seperti solat sunat Qabliah dan Ba'diah, wirid sesudah solat dibenarkan.

Katanya, kuliah antara waktu solat Maghrib dan Isyak serta selepas solat Subuh turut dibenarkan dengan tempoh masa tidak melebihi 30 minit mengikut garis panduan ditetapkan.

Sebelum ini, solat Jumaat hanya dibenar diadakan di masjid dan Surau Diri Jumaat di seluruh Perak mengikut kapasiti ruang solat sedia ada.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus