669 calon SPM peroleh semua A di Perak

Mohamad Fauzi (tengah) memaklumkan seramai 669 calon SPM 2022 terima keputusan cemerlang di Perak.
Mohamad Fauzi (tengah) memaklumkan seramai 669 calon SPM 2022 terima keputusan cemerlang di Perak.
A
A
A

IPOH - [DIKEMAS KINI] Seramai 669 calon Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) 2022 di Perak memperoleh keputusan cemerlang gred A, A+ dan A- dalam semua mata pelajaran.

Pengarah Pendidikan Negeri Perak, Mohamad Fauzi Mahson berkata, daripada jumlah itu, 13 calon telah memperolehi A+ dalam semua mata pelajaran diambil.

"Bilangan calon yang memperoleh sekurang-kurangnya kepujian atau gred C dalam semua mata pelajaran adalah seramai 3,192 (11.5 peratus) pada tahun 2022.

"Seramai 14,760 calon atau 53.46 peratus lagi telah memperoleh sekurang-kurangnya lulus semua mata pelajaran yang diduduki," katanya kepada pemberita sempena pengumuman keputusan peperiksaan SPM 2022 di Pejabat Jabatan Pendidikan Negeri (JPN) Perak di sini pada Khamis.

Menurutnya, jurang pencapaian calon SPM antara bandar dan luar bandar semakin mengecil apabila mencatatkan 0.04 mata berbanding 0.06 mata pada tahun 2021.

Mohamad Fauzi (tengah) menunjukkan hasil keputusan SPM 2022 bagi negeri Perak.
Mohamad Fauzi (tengah) menunjukkan hasil keputusan SPM 2022 bagi negeri Perak.

Tambah beliau, Gred Purata Negeri (GPN) yang dicatatkan tahun ini adalah 4.92 berbanding 4.96 tahun lalu, iaitu peningkatan 0.04 mata.

"Seramai 89 Calon Berkeperluan Pendidikan Khas (CBPK) yang menduduki peperiksaan dan daripada jumlah itu, seorang calon bagi kategori kurang upaya penglihatan telah berjaya memperoleh keputusan semua A.

"Peratus calon yang layak menerima sijil SPM meningkat sebanyak 4.39 peratus iaitu 90.1 peratus (24,877 orang) tahun ini berbanding 85.71 peratus (24,698 orang) yang dicatatkan tahun lalu," katanya.

Peperiksaan SPM 2022 yang diadakan pada 30 Januari hingga 15 Mac lalu membabitkan seramai 32,735 calon dengan 31,079 merupakan calon sekolah dan 1,656 orang mendaftar sebagai calon persendirian.

Seramai 11,583 petugas peperiksaan telah berkhidmat memastikan pengurusan dan pengendalian peperiksaan berjalan lancar di 321 pusat peperiksaan dan 80 mata pelajaran ditawarkan.