X

Kindly register in order to view this article
!

Alumni sekolah sambut baik tetapi harap harga perlu mampu milik

Raja Jaafar, Noor Zilah
A
A

JOHOR BAHRU - Cadangan pembelian alat pengimbas haba inframerah untuk ditempatkan di sekolah-sekolah disambut baik alumni sekolah berprestasi tinggi, Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato Penggawa Barat, Pontian.

Setiausaha Alumninya, Noor Zilah Hasnon berkata, tidak menjadi halangan buat alumni sekolah itu untuk mengumpulkan dana bagi pembelian alat tersebut jika harganya dalam kategori mampu beli iaitu di bawah RM10,000.

Menurutnya, pemasangan alat terbabit di pasar raya terkemuka di Johor Bahru jelas memperlihatkan betapa mudahnya urusan pengambilan suhu pengunjung tanpa bantuan pengawal keselamatan atau pekerja.

“Alat pengimbas haba inframerah berteknologi tinggi ini akan memudahkan pengambilan suhu badan pelajar apabila sekolah dibuka nanti.

“Bayangkan jika sekolah mempunyai bilangan pelajar yang ramai, pastinya penggunaan alat ini akan membantu guru sekali gus menjimatkan masa dan dalam masa sama dapat mengekang rantaian penyebaran pandemik koronavirus (Covid-19),” katanya ketika dihubungi di sini semalam.

Sementara itu, alumni SMK Dato Jaafar Johor Bahru, Raja Jaafar Ali, 55, berkata, penggunaan alat berteknologi bagi mengimbas suhu badan pelajar sememangnya wajar digunakan di sekolah.

Beliau mengambil contoh beberapa masjid di Johor Bahru yang sudah menggunakan alat pengimbas haba inframerah bagi mengimbas suhu jemaah yang hadir.

“Sekolah merupakan tempat penting bagi anak-anak belajar. Guru tidak harus dibebani dengan tugasan mengambil suhu pelajar kerana terdapat alat berteknologi tinggi bagi tujuan itu.

“Dalam hal ini, alumni sekolah boleh melakukan tindakan dengan mengumpulkan dana bagi membeli alat tersebut. Inilah masanya untuk alumni berbakti kepada sekolah mereka,” katanya.

Beliau berkata, cadangan bagi pembelian alat pengimbas haba inframerah itu akan dibawa ke dalam mesyuarat alumni sekolah kerana ia memerlukan sokongan dana daripada bekas pelajar.

“Kempen membeli alat pengimbas haba oleh pihak alumni merupakan sesuatu yang perlu disokong dan menyerlahkan sikap tolong-menolong ketika usaha memerangi Covid-19,” katanya.

Badan korporat dan syarikat berkaitan kerajaan (GLC) diharap dapat menyumbang alat pengimbas haba inframerah kepada sekolah sebagai satu tanggungjawab sosial korporat (CSR).

Yang Dipertua Persatuan Ibu Bapa dan Guru (PIBG) Sekolah Kebangsaan (SK) Kubang Ikan di sini, Ahmad Zamri Sulong berkata, sumbangan tersebut penting bagi mempercepatkan urusan mengimbas suhu murid yang hadir ke sekolah.

Menurutnya, walaupun pihaknya sedar alat pengimbas haba inframerah lebih mudah berbanding alat pengimbas suhu biasa namun sekolah tidak mampu menyediakan mesin itu ekoran kekangan kewangan.

“PIBG amat menyokong usaha penggunaan alat ini tapi kita tidak mampu untuk beli kerana selain harganya tinggi kita juga banyak komitmen lain perlu dipenuhi termasuk penyediaan cecair pembasmi kuman dan sebagainya.

“Jadi kita harap syarikat korporat dan GLC dapat bantu kerajaan sumbangkan alat ini kepada sekolah. Jika tidak mampu beri semua, boleh utamakan sekolah pinggir dan luar bandar yang mempunyai ramai murid.

“Selain syarikat dan GLC, alumni sekolah dan mana-mana pihak yang berkemampuan juga boleh turut serta menyumbang beli satu alat di satu sekolah bagi meringankan tugas guru,” katanya di sini semalam.

Ahmad Zamri berkata, penggunaan alat pengimbas suhu biasa akan menyebabkan beban guru bertambah kerana ia memakan masa.

Katanya, SK Kubang Ikan yang mempunyai lebih 800 murid dan lima alat pengimbas suhu digital menunjukkan nisbah satu alat digunakan untuk mengimbas suhu kira-kira 160 murid.

“Banyak masa akan diambil, jadi kita berharap kerajaan dapat fikirkan perkara ini dengan menyediakan mesin automatik. PIBG juga akan berusaha dapatkan sumbangan supaya perkara ini dapat direalisasikan,” katanya.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!