Naza Group selesai beli 100 peratus saham Berjaya Enviro

SM Nasarudin
SM Nasarudin
A
A
A

NAZA Corporation Holdings Sdn Bhd (Naza Group) telah menyempurnakan pengambilalihan 100 peratus pegangan dalam Berjaya Enviro Holdings Sdn Bhd (BEnviro), pemain utama dalam industri pengurusan sisa pada harga RM700 juta.

Dalam satu kenyataan, Naza Group berkata, pengambilalihan itu memberikan peluang unik untuk Naza Group meneroka ekonomi hijau, memanfaatkan peluang pertumbuhan dalam sektor sisa pepejal perbandaran (MSW), sisa terjadual (SW) dan sisa-ke-tenaga (WTE).

Pengambilalihan itu turut melibatkan Naza mengambil alih tujuh entiti di bawah BEnviro, iaitu BPJ-Berjaya Sdn Bhd, Berjaya Eco Services Sdn Bhd, Save the Sea Sdn Bhd, Berjaya Enviro Parks Sdn Bhd, Amita Berjaya Sdn Bhd, J&T Berjaya Alam Murni Sdn Bhd, dan Berjaya Energies Sdn Bhd.

Pengerusi Eksekutif Kumpulan Naza Group, SM Nasarudin SM Nasimuddin berkata, kumpulan itu telah meneroka sektor baharu yang sejajar dengan visi pembangunan mampan, kecekapan sumber dan menegakkan standard tertinggi penjagaan alam sekitar.

"Pengurusan sisa, satu aspek penting dalam ekonomi hijau, yang dijangka menyaksikan pertumbuhan yang besar, sejajar dengan visi kami. Selain itu, perniagaan pengurusan sisa mempunyai aliran pendapatan yang boleh dijangka, stabil dan industri ini bersifat bukan kitaran, kedua-duanya merupakan pertimbangan utama untuk pengambilalihan ini,” katanya.

Di bawah perniagaan pengurusan sisa baharunya, Naza akan terus mengendalikan taman eko pengurusan sisa bersepadu seluas 266.24 hektar, Taman Enviro Bukit Tagar, ia merupakan salah satu tapak pelupusan sanitari terbaik di negara ini. - Bernama

Ikuti Channel rasmi Sinar Harian di WhatsApp supaya anda tidak terlepas berita-berita terkini daripada kami. Jom! Klik di sini!

Artikel Berkaitan: