Pakar beri amaran Covid-19 bukan yang terakhir

Wang Linfa
Wang Linfa
A
A
A

SINGAPURA - Covid-19 yang merupakan koronavirus ketiga disebarkan daripada haiwan kepada manusia bukan yang terakhir akan mencetuskan pandemik.

Amaran itu dikeluarkan Profesor Wang Linfa yang merupakan pakar Program Penyakit Berjangkit di Duke-NUS Medical School, Singapura.

Pada Disember 2013, beliau pernah memberi amaran tentang penularan satu lagi koronavirus dalam tempoh kira-kira sedekad selepas kemunculan Sindrom Pernafasan Asia Barat (Mers) di Arab Saudi.

Ramalan beliau terbukti benar selepas wabak Covid-19 kini menular ke seluruh dunia dan menjangkiti lebih 11.63 juta individu dan mencatatkan lebih 538,000 kematian.

Ketika berucap menerusi sidang video, Covid-19: Biomedical Insights Into An Evolving Epidemic anjuran Universiti Nasional Singapura semalam, beliau sekali lagi memberi amaran tentang ancaman koronavirus baharu.

“Satu lagi koronavirus akan menular dalam tempoh sedekad. Persoalannya bila dan bagaimana kesan buruknya kepada manusia serta adakah ia akan berlaku dalam skala besar atau kecil.

“Jika nasib kita malang, koronavirus boleh sekali lagi disebarkan kelawar dan haiwan itu menjadi pembawa tanpa simptom. Ia kemudiannya menjangkiti haiwan lain sebelum disebarkan kepada manusia,” jelasnya.

Ketika ini, saintis sedang giat melakukan penyelidikan untuk menentukan risiko kelawar sebagai perumah utama koronavirus.

Artikel Berkaitan:

Selain kebimbangan tentang penularan koronavirus baharu, saintis juga khuatir Sars-CoV-2 mungkin boleh disebarkan daripada manusia kepada haiwan dan kemudian kepada manusia semula.

Difahamkan, Mers tidak merebak dengan mudah dan kadar kematiannya satu dalam tiga individu berbanding Sindrom Pernafasan Akut Teruk (Sars) yang menular pada 2003 lebih mudah merebak dengan kadar kematian sebanyak 10 peratus.

Bagaimanapun, Covid-19 didakwa merebak dengan cepat dan kadar kematiannya juga adalah kira-kira satu peratus di sebahagian negara dan lebih 10 peratus di negara lain. - Agensi