Polis Johor beri amaran batalkan 'Gang Bang Jb Party'

Kamarul Zaman
Kamarul Zaman
A
A
A

JOHOR BAHRU - Polis Johor memberi amaran keras kepada penganjur 'Gang Bang JB Party' yang dipercayai pesta seks bebas agar membatalkan acara tersebut.

Ketua Polis Johor, Datuk Kamarul Zaman Mamat berkata, tindakan tegas akan diambil sekiranya penganjuran acara tersebut menyalahi undang-undang dan berlaku pelanggaran peraturan.

"Polis Johor memberi amaran yang keras kepada penganjur acara 'Gang Bang JB Party' supaya tidak meneruskan acara tersebut.

"Pemantauan berterusan dilakukan polis Johor terhadap apa-apa juga penganjuran acara yang menyalahi undang-undang dan akan mengambil tindakan tegas sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang.

"Kertas siasatan telah dibuka mengikut Seksyen 292 (e) Kanun Keseksaan. Bagi penyebaran poster melalui media sosial pula, siasatan akan dilakukan mengikut Seksyen 233 Akta Komunikasi Multimedia 1998," katanya dalam kenyataan pada Rabu.

Beliau turut meminta orang ramai tidak membuat sebarang spekulasi yang boleh menggugat ketenteraman awam.

"Polis Johor memohon kerjasama orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat berkaitan jenayah boleh menyalurkan maklumat ke Bilik Gerakan Polis Johor di talian 07-2212999," ujarnya.

Pada Rabu, tular poster atau kad jemputan di Twitter 'Gang Bang JB Party' yang dijangka diadakan bermula jam 4 petang hingga 9 malam pada 20 Jun ini.

Exco Hal Ehwal Agama Islam negeri, Mohd Fared Mohd Khalid menegaskan, Jabatan Agama Islam Negeri Johor (JAINJ) telah diarahkan untuk mengambil tindakan segera tentang perkara itu.