Tekun sasar 500 rider

Dari kiri; Shaharizurkirnain, Mas Ermieyati, Wan Junaidi dan Mohammad Mentek pada majlis pelancaran Tekun Mobileprenuer di Menara Bank Rakyat di Kuala Lumpur semalam. Foto: Rosli Talib
Dari kiri; Shaharizurkirnain, Mas Ermieyati, Wan Junaidi dan Mohammad Mentek pada majlis pelancaran Tekun Mobileprenuer di Menara Bank Rakyat di Kuala Lumpur semalam. Foto: Rosli Talib
A
A
A

TEKUN Nasional menyasarkan 500 penghantar (rider) e-panggilan menyertai skim Tekun Mobileprenuer 2.0 yang menawarkan pembiayaan maksimum sehingga RM10,000.

Menteri Pembangunan Usahawan dan Koperasi (MEDAC), Datuk Seri Dr Wan Junaidi Wan Jaafar berkata, setakat ini seramai 48 rider telah mendaftar skim berkenaan yang mana lima daripadanya telah diluluskan.

“Sebanyak RM5 juta telah disediakan untuk Tekun Mobileprenuer 2.0 yang mana skim bertujuan untuk membeli motosikal baharu dan modal pusingan kepada rider yang telah mendaftar dengan syarikat e-panggilan.

“MEDAC dan Tekun Nasional membuka peluang ini kepada golongan yang hilang pekerjaan akibat koronavirus (Covid-19) untuk menjadi 'gig worker' atau penghantar makanan yang telah mendaftar dengan syarikat penghantaran makanan, barangan dan keperluan harian,” katanya.

Beliau berkata demikian pada majlis pelancaran Tekun Mobileprenuer di Menara Bank Rakyat, Kuala Lumpur semalam.

Hadir sama ialah Timbalan Menteri MEDAC, Datuk Wira Mas Ermieyati Samsudin, Ketua Setiausaha MEDAC, Datuk Seri Mohammad Mentek dan Pengerusi Tekun Nasional, Shaharizukirnain Abd Kadir.

Wan Junaidi berkata, skim Tekun Mobileprenuer 1.0 telah diadakan pada awal April 2020 merupakan skim pembiayaan tanpa faedah kepada rider e-panggilan dengan nilai pembiayaan maksimum sehingga RM2,000.

Sehingga kini, beliau berkata, seramai 215 permohonan telah diluluskan melalui Tekun Mobileprenuer 1.0 dan menerima pembiayaan dengan nilai RM402,000.

Artikel Berkaitan:

“Kedua-dua skim yang ditawarkan Tekun Nasional adalah terbuka khusus untuk Bumiputera dan India sahaja.

“Sasaran penyertaan di bawah program ini ialah seramai 1,000 rider e-panggilan,” katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, kementerian mencadangkan agar rider menubuhkan koperasi untuk membolehkan mereka mendapat manfaat dan keuntungan berpanjangan.

Sementara itu, katanya, Tekun Nasional turut menawarkan pembiayaan Skim Pemulihan Perniagaan Tekun mulai 13 Julai ini bagi membolehkan syarikat mikro memulihkan perniagaan.

Jelasnya, sebanyak RM100 juta telah disediakan bagi tujuan berkenaan melalui pakej Pelan Jana Semula Ekonomi Negara (Penjana).

“Skim ini menyediakan pembiayaan mikro sehingga RM10,000 dengan kadar faedah yang dikenakan sebanyak 3.5 peratus setahun.

“Setiap pembiayaan akan diberikan tempoh moratorium selama enam bulan,” katanya.