Jangan ada situasi Antara Dua Darjat di sekolah

Gambar hiasan -Foto 123rf
Gambar hiasan -Foto 123rf
A
A
A

AKHBAR ini pada minggu lalu telah melancarkan kempen untuk menyediakan alat pengesan haba berteknologi tinggi kepada 10,000 buah sekolah di negara ini.

Kempen ini menyasarkan kepada alumni-alumni sekolah, syarikat-syarikat swasta atau mana-mana individu untuk menyumbang peralatan tersebut sebagai persediaan sekolah untuk menerima semula kemasukan pelajar pada 13 Julai ini.

Ada ramai pihak bertanya mengapa kempen ini digerakkan oleh Sinar Harian.

Semua ini berlaku kerana akhbar ini tidak mahu berlaku situasi Antara Dua Darjat di sekolah.

Didapati ada sekolah-sekolah di negara ini menerima bantuan daripada pihak tertentu untuk menyediakan kemudahan tersebut.

Mereka diberikan alat pengimbas berteknologi tinggi yang canggih dan mampu mengesan haba hanya dalam tempoh satu saat sahaja.

Alat itu juga mempunyai integrasi dengan pangkalan data dan memboleh rekod kedatangan murid termasuk guru dapat direkodkan dan disimpan.

Bagaimanapun, situasi berbeza berlaku di sekolah-sekolah harian biasa yang lain terutama di sekolah luar bandar. Mereka hanya dibekalkan dengan pengimbas suhu inframerah yang biasa sahaja.

Artikel Berkaitan:

Bayangkan apabila ratusan pelajar beratur didepan pintu pagar sekolah pada 13 Julai nanti. Sebab itulah ada rayuan supaya ibu bapa dapat membantu pihak sekolah apabila tiba waktu itu nanti.

Dengan menggunakan peralatan yang lebih baik, usaha untuk memastikan perang melawan penularan Covid-19 akan lebih berkesan.

Bagaimanapun, kita faham dengan kekangan terpaksa dihadapi oleh kerajaan pada ketika ini untuk menyediakan kemudahan tersebut.

Sebab itulah kempen ini meminta supaya alumni-alumni sekolah dan pihak yang mempunyai dana untuk tampil kehadapan bagi menjayakan hasrat murni ini.

Apatah lagi kenyataan daripada Kementerian Kewangan kelmarin yang membolehkan para penyumbang diberikan pelepasan cukai jika berbelanja untuk tujuan tersebut.

Ambilah peluang ini untuk membantu sekolah yang selama ini menjadi 'kilang' yang mengeluarkan insan-insan penting kepada pembangunan negara.