KDEBWM ambil tindakan segera 

Laporan Sinar Harian mengenai aduan sampah yang menyebabkan kawasan perumahan di sini menjadi tempat pembiakan tikus.
Laporan Sinar Harian mengenai aduan sampah yang menyebabkan kawasan perumahan di sini menjadi tempat pembiakan tikus.
A
A
A

PUCHONG - Kumpulan Darul Ehsan Berhad Waste Management (KDEBWM) Sdn Bhd memaklumkan sudah mengambil tindakan segera selepas menerima aduan penduduk berhubung isu sampah di Lorong 3H, Perumahan PKNS, Batu 13 1/2, Kampung Pasir di sini.

Ketua Bahagian Perhubungan Awam dan Pentadbiran KDEBWM, Mahfuzah Muhamad Tarmidi berkata, sebaik menerima aduan, pihaknya mengadakan pertemuan dengan ahli majlis kawasan dan Jabatan Pengurusan Alam Sekitar.

Menurutnya, hasil siasatan mendapati lokasi tong sampah jenis 'leach bin' yang diletakkan di kawasan itu tidak pernah digazetkan pihak Majlis Perbandaran Subang Jaya (MPSJ).

“Tong sampah berkenaan adalah pemberian kontraktor sebelum ini bagi memudahkan kutipan dibuat di lokasi yang asalnya adalah tempat pembuangan sampah haram.

“Setelah KDEBWM ambil alih kawasan tersebut, kutipan bertambah baik dengan kadar kekerapan adalah tiga kali seminggu iaitu pada hari Isnin, Rabu dan Jumaat,” katanya dalam satu kenyataan kepada Sinar Harian, hari ini.

Beliau berkata, KDEBWM akan menggantikan tong tersebut dengan kadar segera manakala MPSJ pula akan membersihkan sekeliling tapak tong dengan jengkaut serta bantuan lori KDEB, Khamis ini.

“Pihak MPSJ juga akan membina tapak konkrit untuk tong sampah berkenaan,” katanya.

Terdahulu Sinar Harian melaporkan, penduduk perumahan berhampiran bingung apabila rumah mereka dihurung lalat, terpaksa hidu bau busuk selain haiwan pembawa penyakit termasuk tikus bermaharajalela di sekitar kawasan rumah.

Artikel Berkaitan:

Penduduk mendakwa ada sampah pukal yang sudah bertahun tidak dikutip dan lebih dikesalkan, sampah domestik bersepah di sekeliling tong sampah terletak kurang 50 meter dari jarak rumah mereka.