Dua bulan sebelum Brexit, penduduk masih berbelah bagi

Theresa May
A
A

LONDON - Kira-kira 60 hari sebelum Brexit dan lebih dua setengah tahun selepas rakyat Britain mengundi untuk keluar dari Kesatuan Eropah (EU), ramai penduduk masih berbelah bagi mengenai masa depan isu rumit berkenaan.

Agensi berita Anadolu mengambil inisiatif menemubual penduduk Britain pada hari Perdana Menteri, Theresa May menyampaikan ucapan mengenai pelan B kerajaan berhubung Brexit.

Seorang wanita yang menyertai bantahan kecil di depan Downing Street, merasakan rakyat Britain sudah menyatakan pendirian mereka dan negara itu perlu segera meningalkan EU.

Hanya mahu dikenali sebagai Penelope, beliau berkata, rakyat negara itu 'mengundi untuk kemerdekaan pada 2016' tetapi dua tahun setengah kemudian, kerajaan cuba menjadikan Brexit sekadar 'nama'.

Rakyat Britain masih sayangkan Eropah tetapi mereka tidak mahu diperintah oleh Brussels, katanya.

“Perjanjian yang ditolak.... adalah perjanjian yang tiada kesudahannya," kata Penelope merujuk kepada tindakan parlimen minggu lalu, menolak perjanjian dicapai May dengan EU.

Penelope berkata, tindakan menolak usul di parlimen itu akan menyebabkan Britain terus tersadai dalam EU selama-lamanya dan 'jelas ia bukan apa yang kami undi dalam pungutan suara sebelum ini'.

Seorang lagi rakyat Britain, Thomas, turut mengundi untuk keluar dari EU.

“Brexit adalah Brexit,” kata Thomas pada Anadolu sambil memegang bendera Union Jack di pintu masuk Istana Westminster.

“Dua setengah tahun lalu kami sudah mengundi keluar dari EU," katanya dan menolak cadangan mengadakan pungutan suara kedua.

Pungutan suara kedua bermakna mereka yang menentang Brexit sebelum ini, berjaya dan ia bererti 'demokrasi sudah tamat', kata Thomas.

“Kami punya satu undi.... dan ia sangat mudah. Kami sudah mengundi untuk keluar," katanya.

Sementara itu, sambil berdiri di tepi gerai buah-buahan di Jalan Victoria, tengah London, Terrance berkata, keajaan perlu segera melengkapkan proses Brexit secepat mungkin.

Beliau mengimport buah-buahan dari Sepanyol tetapi bertekad mahu berpisah daripada blok 28 negara itu meskipun sedar bakal dicukai selepas ini.

“Kita seharusnya terus keluar dan berdepan dengan apa yang mendatang," katanya.

Anadolu turut menemubual penyokong kuat pungutan suara kedua berhubung perkara itu.

Steve menuntut supaya pungutan suara kedua perlu dijalankan.

“Kita perlu satu undian oleh rakyat.

Kini, rakyat sudah melihat satu persatu masalah timbul dan negara ini sedang diperdayakan. Kita mahu satu lagi pungutan suara dan kami mahu kekal dalam EU. Brexit perlu ditamatkan,” katanya.

Jane pula merasakan penyokong kerajaan di Dewan Rakyat seharusnya memikirkan dengan serius pindaan bagi memboleh rakyat mengundi, selain memikirkan kesan sosial dan ekonomi andai Britain keluar dari Eropah.

Simon, yang berdiri di luar Parlimen Britain dengan mengibarkan bendera besar EU merasakan, sukar untuk parlimen meluluskan parjanjian dimeterai May itu.

Beliau bimbang, akhirnya semua usaha yang dilakukan menemui jalan buntu.

"Jika ada sedikit ruang untuk Brexit dalam perkara tertentu saja, saya mungkin agak gembira," ujarnya.

Tambahnya, pungutan suara kali kedua memberikan peluang kepada pengundi melihat apa sebenarnya maksud Brexit. - Bernama


Bermula dengan hanya RM5 anda telah menyokong Berita Fakta dan Komprehensif kami, sokong berita kami.
Terima Kasih Rakyat Malaysia