Dua pengarah antara ditahan gara-gara tuntutan palsu RM1.8 juta

A
A

PUTRAJAYA - Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) dua pengarah syarikat dan seorang ejen insuran wanita bagi membantu siasatan kes rasuah serta tuntutan palsu dianggarkan bernilai, kira-kira RM1.8 juta, hari ini.

Menurut sumber, pengarah syarikat bergelar datuk, berusia 44 tahun itu, ditahan kira-kira 12 tengah hari dan seorang lagi pengarah syarikat berusia 51 tahun ditahan sejam kemudian.

Manakala seorang lagi suspek wanita yang juga ejen insuran berusia 29 tahun ditahan, kira-kira jam 2 petang.

Kesemua mereka ditahan di Ibu Pejabat SPRM, Putrajaya ketika hadir memberi keterangan.

Sumber berkata, ketiga-tiga suspek disyaki menerima rasuah daripada pembekal peralatan kilang berhubung pembelian mesin bagi operasi sebuah syarikat di mana kedua-dua pengarah syarikat itu turut mempunyai saham .

Sumber juga memberitahu, ketiga-tiga suspek juga disyaki terlibat dalam salah guna kuasa ke atas dana syarikat untuk kepentingan peribadi.

Sementara itu, Pengarah Siasatan SPRM, Datuk Seri Simi Abdul Ghani ketika dihubungi mengesahkan tangkapan tersebut.

Katanya, kes disiasat mengikut Seksyen 17(a) dan Seksyen 18 Akta SPRM 2009 dan SPRM akan mendapatkan perintah tahanan reman terhadap ketiga-tiga suspek esok di Mahkamah Majistret Putrajaya.