PKR Cabang Ampang didakwa terbubar

D Nallan (depan, tengah) bersama AJK Cabang, Wanita dan AMK PKR dalam sidang media khas hari ini.
D Nallan (depan, tengah) bersama AJK Cabang, Wanita dan AMK PKR dalam sidang media khas hari ini.
A
A
A

AMPANG - Parti Keadilan Rakyat (PKR) Cabang Ampang didakwa terbubar serta-merta hari ini apabila 250 ahlinya termasuk pemimpin peringkat cabang, wanita dan AMK mengumumkan keluar parti selepas hilang keyakinan terhadap Presidennya, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Pemimpin cabang berkenaan terdiri daripada 13 Ahli Jawatankuasa (AJK) Cabang Ampang, 12 AJK Angkatan Muda Keadilan (AMK) dan sembilan AJK Wanita PKR.

Naib Ketuanya, D Nallan berkata, PKR Cabang Ampang terbubar serta-merta berikutan dua pertiga daripada senarai AJK dilantik akar umbi ketika pemilihan parti turut menyatakan pendirian keluar parti.

"Apabila kita ada dua pertiga daripada jawatankuasa yang dipilih (yang keluar parti), kita ada kuasa untuk bubar PKR Cabang Ampang seperti mana termaktub dalam fasal Perlembagaan parti.

"Keputusan yang dibuat pada hari ini adalah keputusan tepat selepas kami tidak lagi yakin dengan kepimpinan Anwar sebagai Presiden PKR dan pemimpin lain yang berjuang demi kepentingan individu semata- mata serta gagal melaksanakan amanah diberikan ahli-ahli.

"Apa yang berlaku akhir-akhir ini menyebabkan seramai 250 ahli PKR terdiri daripada AJK Cabang Ampang termasuk pemimpin-pemimpin pelapis di peringkat sayap Wanita PKR dan AMK dari 38 ranting Ampang mengambil keputusan untuk keluar parti berkuatkuasa serta-merta," katanya dalam sidang media khas pengumuman ahli PKR Cabang Ampang keluar parti di sini hari ini.

Nallan berkata, PKR kini tidak lagi memartabatkan prinsip perjuangan reformasi bagi membela nasib seluruh rakyat negara ini.

"Kini perjuangan PKR hanyalah untuk mendapatkan kuasa semata-mata dan hanya alat bagi memenuhi cita-cita Anwar untuk menjadi perdana menteri.

Artikel Berkaitan:

"Malah, kami juga kabur dengan masa depan parti apabila beberapa pemimpin kredibiliti seperti Zuraida Kamaruddin disingkirkan tanpa alasan munasabah," katanya.

Beliau berkata, ahli yang keluar parti turut menyatakan sokongan terhadap kerajaan Perikatan Nasional.

"Kami akan bergerak menggunakan platform badan bukan kerajaan (NGO) Penggerakan Komuniti Negara, Nation Of Women dan Pemuda Negara.

"Tumpuan kami di sini adalah untuk mengukuhkan kerajaan Perikatan Nasional dan akan sentiasa berdiri teguh menyokong kepimpinan Tan Sri Muhyiddin Yassin sebagai Perdana Menteri kelapan," katanya.