X

Kindly register in order to view this article
!

Membedah maksud demokrasi

A
A

KEBETULAN hari ini orang Chini akan menunaikan hak politik mereka. Mungkin ramai yang tidak sedar bahawa hari ini adalah hari mengundi bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) bagi kawasan Dewan Undangan Negeri (DUN) Chini. Ini menjadikan ia PRK ke-11 selepas Pilihan Raya Umum ke-14 (PRU14).

Maklumlah, PRK ini jatuh pada masa yang kurang sesuai disebabkan dua perkara. Pertama, ia jatuh pada waktu Covid-19 dan Perintah Kawalan Pergerakan Pemulihan (PKPP) masih lagi berkuat kuasa. Kedua, ketepuan rakyat terhadap politik negara sehingga ke tahap bosan serta kerisauan semua dengan keadaan ekonomi yang amat terjejas pasca pemulihan Covid-19 turut menyumbang kepada kesuraman PRK di situ.

Namun demikian, hal itu tidak sepatutnya menghambat masyarakat, khususnya orang di Chini, untuk tidak menunaikan tanggungjawab politik mereka. Lagipun, salah satu prinsip dalam amalan demokrasi yang paling asas tetapi sering dipandang ringan (atau mungkin sengaja disepikan oleh pemerintah) ialah memastikan kerajaan untuk bertindak balas dan memberikan respons berterusan terhadap pilihan dan permintaan rakyatnya tanpa sebarang gangguan.

Sebab itu demokrasi bukan sekadar pilihan raya. Sistem politik demokrasi sepatutnya berjalan dengan setiap kumpulan yang berbeza dari segi ideologi dan sosial secara sah berhak untuk bersaing untuk mendapatkan kuasa politik di mana institusi yang dipilih oleh rakyat sebagai pemegang kuasa wajib bertanggungjawab kepada rakyat secara langsung dan sepenuhnya.

Sebab itu dalam amalan demokrasi, kuasa politik diagihkan secara meluas dalam kalangan rakyat dan kuasa kerajaan yang ada hanyalah wujud berdasarkan persetujuan rakyat.

Sepatutnya begitulah!

Tambahan pula, maksud perkataan demokrasi yang berasal daripada perkataan Yunani iaitu demos (rakyat) dan kratos (pemerintahan) sudah cukup menggambarkan tentangnya. Mungkin agak senang memahami hal itu. Yang susah mungkin ialah mengetahui sejauh mana sesebuah negara itu benar-benar demokratik atau sebaliknya.

Masalahnya ialah bagaimana hendak menetapkan kriteria demokrasi, mengukur tahap pendemokrasian dan memisahkan demokrasi daripada bukan demokrasi. Ini disebabkan, walaupun sesebuah negara itu mengadakan pilihan raya umum secara tetap dan berkala, ia belum tentu menjadi demokratik sepenuhnya. Hal ini boleh difahami menerusi penerangan selanjutnya.

Umumnya, sarjana politik daripada Universiti Yale, Robert Dahl (1971) sudah pun menggariskan bahawa tidak akan wujud sebuah demokrasi yang ideal dalam mana-mana kerajaan di dunia ini. Yang ada hanya indikasi asas kepadanya yang diukur menerusi dua aspek iaitu persaingan awam (public contestation) – lazimnya mengukur tahap persaingan dalam kalangan parti-parti politik – dan kedua, hak untuk berpartisipasi (right to participate) yang lazimnya mengukur tahap penyertaan rakyat dalam aspek bernegara dan berpolitik.

Menurut Dahl, dua perkara itu selalunya terbentuk dan menjelma menerusi pemikiran serta budaya politik setempat. Ini disebabkan budaya politik selalunya membentuk tindakan kolektif aktor politik yang akhirnya memberikan gambaran tentang jenis rejim yang sedang memerintah.

Kewujudan rejim demokratik atau bukan demokratik bukanlah disebabkan pilihan yang disengajakan, tetapi ia berkait rapat dengan sikap dan pemikiran politik masyarakat yang menjelmakan budaya politiknya yang tersendiri.

Namun begitu, Dahl juga berpendapat demokrasi yang ideal masih boleh digapai menerusi lima kriteria berikut: pertama, penyertaan rakyat yang berkesan; kedua, kesetaraan mengundi pada tahap penentu; ketiga, rakyat ada dan diberikan pilihan yang jelas dalam menentukan kepentingan mereka; keempat, kawalan agenda (rakyat mempunyai peluang untuk memutuskan apa sebenarnya hal-hal politik yang perlu dibawa untuk dibincangkan; dan kelima, inklusif – setiap rakyat mempunyai kepentingan sama dalam proses politik.

* Mujibu Abd Muis ialah Pensyarah Kanan Sains Politik Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi Universiti Teknologi Mara (UiTM)


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!