X

Kindly register in order to view this article
!

Lucut hak RM194 juta: Pendakwaan gagal lagi tangguh perintah mahkamah

A
A

PUTRAJAYA - Pendakwaan sekali lagi gagal mendapatkan perintah penangguhan terhadap keputusan Mahkamah Tinggi yang menolak permohonannya untuk melucut hak lebih RM194 juta yang disita Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) daripada UMNO, Wanita MCA dan dua syarikat.

Pihak pendakwaan telah memohon penangguhan pelaksanaan keputusan Mahkamah Tinggi pada 17 Februari lepas sementara menunggu prosiding rayuannya yang ditetapkan pada 25 Ogos di Mahkamah Rayuan.

Panel tiga hakim Mahkamah Rayuan yang diketuai Hakim Datuk Yaacob Md Sam yang mendengar permohonan penangguhan pelaksanaan perintah itu hari ini memutuskan pihak pendakwaan gagal menunjukkan kepada mahkamah bahawa terdapat keadaan tertentu untuk membolehkan mahkamah menggunakan kuasa budi bicaranya bagi memberikan penangguhan tersebut.

Beliau berkata, kebimbangan pihak pendakwaan bahawa jika penangguhan itu tidak diberikan dan jika mahkamah membenarkan rayuannya bermakna rayuan itu akan menjadi tidak berguna dan sia-sia sehingga tidak dapat membentuk kes dengan keadaan tertentu.

"Terdapat kes yang menyatakan bahawa keadaan tertentu mestilah sangat istimewa dan bukan keadaan biasa," kata Hakim Yaacob semasa menolak permohonan pendakwaan itu.

Dua lagi hakim yang bersidang ialah Datuk Hadhariah Syed Ismail dan Hakim Mahkamah Tinggi, Datuk Nordin Hassan.

Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur pada 7 Februari tahun ini menolak permohonan pendakwaan untuk melucutkan lebih RM194 juta yang disita daripada UMNO, Wanita MCA, Perano Sdn Bhd dan Binsabi Sdn Bhd yang didakwa diterima daripada bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak dan dikaitkan dengan skandal 1Malaysia Development Berhad (IMDB).

Hakim Mahkamah Tinggi, Mohamed Zaini Mazlan memutuskan bahawa wang tersebut tidak dapat dikatakan dengan yakin diterima daripada Najib dan tiada bukti untuk menunjukkan wang tersebut berasal daripada kegiatan yang menyalahi undang-undang.

Permohonan pelucuthakan terhadap UMNO melibatkan RM192,965,413.61 manakala RM300,000 terhadap Wanita MCA.

Sementara itu, bagi Perano, sebuah syarikat yang menjual tudung dan Binsabi Sdn Bhd yang membekalkan khemah, jumlah yang terlibat masing-masing sebanyak RM337,634.78 dan RM827,250, yang didakwa mereka terima daripada Najib.

Pada 7 Februari lepas, Mahkamah Tinggi menolak permohonan pendakwaan untuk menangguhkan pelaksanaan perintah sementara menunggu rayuan di Mahkamah Rayuan.

Dalam prosiding hari ini, Timbalan Pendakwa Raya SPRM, Roslan Mat Nor berhujah bahawa keadaan tertentu untuk diberikan penangguhan kerana sekiranya perintah penangguhan tidak diberikan, perintah Mahkamah Tinggi akan dikuatkuasakan dan wang perlu dilepaskan kepada responden.

Peguam UMNO, Datuk Hariharan Tara Singh berhujah bahawa kebimbangan pihak pendakwaan yang ia tidak dapat memperoleh kembali wang itu sekiranya penangguhan tidak diberikan adalah tidak berasas kerana UMNO solven.

Peguam, Datuk Ben Chan yang mewakili Wanita MCA berpendapat bahawa jumlah yang terlibat dalam kes anak guamnya sangat kecil sambil menambah bahawa Wanita MCA mempunyai lebih daripada mencukupi dan berada dalam kedudukan kewangan yang stabil.

Peguam N Thevini mewakili Perano manakala Binsabi diwakili peguam Muhammad Hasif Hasan.

Selepas prosiding mahkamah, Hariharan memberitahu media bahawa susulan keputusan mahkamah hari ini, beliau akan menulis surat kepada CIMB Bank Bhd untuk tidak lagi membekukan akaun UMNO yang telah dibekukan sejak 28 Mei 2018. - Bernama


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus