Harap lebih ramai pekerja ekonomi GIG daftar Perkeso: Tengku Zafrul

Tengku Zafrul (duduk,tengah) bergambar bersama pengurusan tertinggi PERKESO di Menara PERKESO, Jalan Ampang hari ini. - Foto Bernama
Tengku Zafrul (duduk,tengah) bergambar bersama pengurusan tertinggi PERKESO di Menara PERKESO, Jalan Ampang hari ini. - Foto Bernama
A
A
A

KUALA LUMPUR - Kerajaan berharap lebih ramai pekerja dalam sektor ekonomi gig akan mendaftar dengan Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) melalui Pelan Jana Semula Ekonomi (Penjana) agar kebajikan mereka terus terpelihara.

Menteri Kewangan, Tengku Datuk Seri Zafrul Aziz berkata, melalui Penjana kerajaan telah memperuntukkan geran berjumlah RM50 juta dalam bentuk dana padanan bagi platform ekonomi gig untuk mencarum pekerja di bawah Skim Bencana Pekerjaan Perkeso.

Beliau berkata, antara Januari sehingga kini, hanya tujuh peratus atau 28,425 pekerja ekonomi gig yang mendaftar dengan Perkeso daripada jumlah keseluruhan iaitu kira-kira 400,000 orang.

Menurut Tengku Zafrul, bagi merancakkan inisiatif dalam Penjana untuk golongan pekerja ekonomi gig, beberapa sesi libat urus telah dijalankan bersama sektor pertanian, penjaja, pengangkutan, barangan dan makanan serta lebih 38 penyedia platform perkhidmatan gig.

“Lebih 188,000 pekerja bebas yang berpotensi telah dikenal pasti,” katanya berkata kepada pemberita selepas lawatan rasmi beliau ke Perkeso hari ini.

Turut hadir adalah Ketua Eksekutif Perkeso, Datuk Seri Dr Mohammed Azman Aziz Mohammed.

Tengku Zafrul berkata, sehingga 26 Jun, sebanyak RM7.07 bilion telah diluluskan di bawah Program Subsidi Upah bagi 307,518 majikan yang mana usaha itu telah menyelamatkan lebih 2.46 juta pekerja.

Mengenai permohonan program tersebut, beliau berkata, terdapat pelbagai faktor yang menyebabkan ia tidak diluluskan termasuk isu teknikal.

Artikel Berkaitan:

“Sebanyak 97 peratus isu telah diselesaikan. Masalah utama ialah mengenai nombor pendaftaran perniagaan yang salah dan ini menyebabkan mereka mendapat bantuan lewat berbanding dengan mereka yang memberi nombor yang betul.

“Masalah lain ialah syarikat memberi nombor akaun bank yang salah dan tidak aktif,” katanya.

Sementara itu, Mohammed Azman berkata, Perkeso telah menubuhkan satu jawatankuasa kerja untuk menyelesaikan isu tersebut.

“Ia akan mengambil sedikit masa untuk diselesaikan kerana terdapat kira-kira beberapa ribu (permohonan) tetapi kita dalam proses untuk menyelesaikannya,” katanya.- Bernama