Kekosongan 37 jawatan ahli majlis selesai dalam masa terdekat

Ng Sze Han
Ng Sze Han
A
A
A

PUCHONG - Kekosongan 37 kerusi ahli majlis melibatkan 12 pihak berkuasa tempatan (PBT) di Selangor yang sebelum ini dianggotai wakil daripada Parti Paribumi Bersatu Malaysia (Bersatu) akan diisi dalam masa terdekat.

Exco Kerajaan Tempatan, Pengangkutan Awam dan Pembangunan Kampung Baru negeri, Ng Sze Han berkata, kerusi ahli majlis berkenaan dikosongkan selepas pimpinan tertinggi Bersatu mengumumkan parti itu keluar daripada Pakatan Harapan (PH).

Menurutnya, pemilihan calon baharu masih dalam peringkat perbincangan antara gabungan tiga parti yang masih di bawah PH termasuk Parti Keadilan Rakyat (PKR),Parti Amanah Negara (Amanah) dan DAP.

“Bukan sahaja mengenai agihan kerusi ahli majlis namun kekosongan 65 kerusi ketua kampung dan juga penyelaras Dewan Undangan Negeri (DUN) juga masih dalam peringkat perbincangan.

“Saya percaya parti politik masing-masing sudah ada senarai nama yang akan dicalonkan bagi mengisi kekosongan kerusi tersebut. Perkara itu akan diumumkan Menteri Besar, Datuk Seri Amirudin Shari tidak lama lagi,” katanya selepas majlis penyerahan sumbangan tiga alat pengimbas haba oleh sebuah syarikat swasta di Sekolah Jenis Kebangsaan Tamil (SJKT) Puchong Batu 14, hari ini.

Pada 24 Februari lalu, Bersatu mengumumkan keluar daripada PH selepas perkara itu diputuskan dalam Majlis Pimpinan Tertinggi Bersatu menerusi mesyuarat khas yang diadakan.

Perkara itu diumumkan Presiden Bersatu, Tan Sri Muhyiddin Yassin, melalui satu kenyataan.

Dalam pada itu Sze Han berkata, keputusan mengenai parti mana yang bakal menggantikan jawatan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan Selangor juga masih dalam peringkat perbincangan.

Artikel Berkaitan:

“Belum ada keputusan parti politik mana akan gantikan kekosongan kerusi exco yang sebelum ini dianggotai wakil rakyat Bersatu,” katanya.

Semalam Amirudin memaklumkan, dua portfolio exco dalam Kerajaan Negeri Selangor yang kosong akan diisi selewat-lewatnya sebelum hujung bulan ini.

Kekosongan kedua-dua portfolio itu susulan jawatan Exco Kebudayaan dan Pelancongan, Peradaban Melayu dan Warisan yang disandang wakil rakyat Bersatu, Datuk Abdul Rashid Asari berakhir, selepas parti itu tidak lagi menjadi sebahagian gabungan Pakatan Harapan (PH), sementara penyandang jawatan Exco Perumahan dan Kehidupan Bandar, Haniza Mohamad Talha pula dilucutkan keahliannya daripada PKR.