Kelantan pertimbang stesen minyak beroperasi 24 jam

Ahmad Yakob
Ahmad Yakob
A
A
A

KOTA BHARU - Kerajaan Kelantan sedia mempertimbangkan permohonan pengusaha stesen minyak di negeri ini untuk beroperasi 24 jam.

Menteri Besar Kelantan, Datuk Ahmad Yakob berkata, bagaimanapun kebenaran tempoh operasi stesen minyak sehingga 24 jam itu akan diberikan di beberapa kawasan yang difikirkan sesuai sahaja.

"Yang perlu beroperasi 24 jam perlu membuat permohonan kepada Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan untuk melihat kepada keperluan sebenar.

"Mungkin di kawasan tertentu yang boleh kita pertimbangkan dan pengusaha boleh memohon (untuk melanjutkan operasi).

"Stesen minyak lain kita kekal hadkan operasi sehingga 12 tengah malam," katanya selepas mempengerusikan Mesyuarat Khas Jawatankuasa Kerja Keselamatan Negeri (JKKN) Kelantan di Kompleks Kota Darul Naim di sini semalam.

Hadir sama, Pengerusi Jawatankuasa Kerajaan Tempatan, Perumahan dan Kesihatan negeri, Dr Izani Husin dan Ketua Polis Kelantan, Datuk Hasanuddin Hassan.

Ahmad berkata, pengusaha kedai makan, medan selera dan trak makanan pula kini dibenarkan beroperasi sehingga jam 11.30 malam berbanding jam 10.30 malam sebelum ini, kecuali bagi pasar raya yang masih kekal waktu operasi antara jam 10 pagi hingga jam 10 malam.

Bagi ibadat korban dan solat sunat Aidiladha pula, beliau berkata, Kelantan akan mengikuti sepenuhnya prosedur operasi standard (SOP) yang telah ditetapkan kerajaan Persekutuan.

Artikel Berkaitan:

Katanya, kerajaan negeri menggalakkan agar daging korban hanya diagihkan kepada golongan yang memerlukan dan tidak diadakan jamuan di rumah seperti diamalkan selama ini.

Sementara itu, Dr Izani berkata, kerajaan negeri akan memohon kepada MKN Pusat agar penjarakan gerai di pasar malam dan pasar tani dapat dikurangkan berbanding arahan penjarakan sejauh 2.5 meter.

"Kalau penjarakan gerai dapat dikurangkan, ia akan menyelesaikan masalah di tapak-tapak pasar berkenaan memandangkan kawasan yang disediakan di Kelantan adalah terhad dan memberi kesan kepada bilangan peniaga.

"Insya-ALLAH kita yakin perkara ini akan dapat diselesaikan dalam masa terdekat," katanya. - Bernama