X

Kindly register in order to view this article
!

Kedai warga asing ditutup

Anggota penguat kuasa memeriksa tarikh luput bungkusan makanan di kedai runcit di Batu Maung, Bayan Lepas pagi tadi.
A
A

BAYAN LEPAS - Sebuah gerai menjual roti canai di Sungai Ara di sini diarahkan tutup selepas pihak berkuasa mendapati ia dijalankan oleh warga Myanmar tanpa lesen perniagaan yang sah.

Kedai yang beroperasi di sebuah rumah itu didapati beroperasi menggunakan lesen perniagaan milik warga tempatan sejak enam bulan lalu.

Serbuan bermula jam 10.30 pagi tadi dilakukan beberapa Pegawai Penguatkuasa Jabatan Kesihatan Pulau Pinang bersama Majlis Bandaraya Pulau Pinang (MBPP) di sekitar Bayan Lepas.

Pegawai Kesihatan Persekitaran Bahagian Keselamatan dan Kualiti Makanan (BKMM) Jabatan Kesihatan Pulau Pinang, Mohd Wazir Khalid berkata, serbuan dijalankan berdasarkan maklumat awam dan risikan yang dijalankan.

Beliau berkata, pemeriksaan mendapati kedai roti canai itu dijalankan oleh warga Myanmar yang merupakan pemegang kad Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Bagi Pelarian (UNHCR) dan tidak mempunyai permit kerja yang sah.

"Setelah diperiksa, warga Myanmar yang masuk ke negara ini sejak 1995 mengakui menyewa bahagian rumah tersebut untuk menjalankan perniagaan dengan sewa bulanan sebanyak RM1,200. Dia juga tidak mempunyai lesen perniagaan dan menggunakan lesen warga tempatan untuk berniaga.

"Oleh itu, kita mengeluarkan notis penutupan ke atas premis tersebut," katanya kepada pemberita selepas operasi di Batu Maung di sini pagi tadi.

Anggota penguat kuasa memeriksa tarikh luput bungkusan makanan di kedai runcit di Batu Maung, Bayan Lepas pagi tadi..
Anggota penguat kuasa memeriksa tarikh luput bungkusan makanan di kedai runcit di Batu Maung, Bayan Lepas pagi tadi..

Mohd Wazir berkata, turut diarah tutup ialah sebuah kedai tomyam dijalankan warga asing yang beroperasi pada waktu malam di premis yang sama.

Katanya, Jabatan Kesihatan Pulau Pinang turut mengeluarkan notis kompaun RM3,000 terhadap sebuah kedai runcit di Batu Maung di sini kerana menjual makanan ringan yang telah luput tarikh.

"Serbuan kedua merupakan sebuah kedai runcit di Batu Maung. Kita mendapati pemilik perniagaan merupakan warga tempatan tetapi dikendalikan oleh seorang warga Bangladesh. Selain kompaun, kita turut merampas 19 barang, antaranya keropok, roti dan biskut bernilai RM200.

"MBPP juga mengeluarkan tiga notis kepada pemilik kedai runcit berkenaan. Oleh itu, jumlah keseluruhan adalah tujuh notis oleh MBPP dan satu oleh Jabatan Kesihatan Pulau Pinang dengan jumlah kompaun, RM3,700," katanya.

Beliau berkata, pihaknya menyasarkan lima premis dalam serbuan dalam Ops Premis Warga Asing itu, bagaimanapun tiga daripadanya bertindak menutup kedai dipercayai kerana telah mendapat maklumat awal mengenai operasi berkenaan.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!