X

Kindly register in order to view this article
!

Caj lesen muzik: 'Caknalah nasib deejay'

utara dj
A
A

PERMATANG PAUH - Ia akan mengurangkan pendapatan deejay sekaligus akan beri kesan kepada pertumbuhan deejay-deejay baharu, demikian luah Pertubuhan Kumpulan Professional DJ Entertainment mengenai langkah pengenalan caj untuk lesen muzik.

Perkara sebegini sekaligus akan memberikan impak yang besar kepada deejay dan pengusaha sistem audio kerana ia akan menjejaskan pendapatan mereka.

Pengerusi Pertubuhan Kumpulan Professional DJ Entertainment Halmi Desaperkara sebegini amat tidak relevan.

"Kita difahamkan caj ini tidak dikenakan di kampung, atau kawasan luar bandar, hanya di tempat komersial, namun isunya adalah perkara ini tidak jelas, kita risau sekiranya ia diselaraskan di semua peringkat.

"Apa yang kita mahukan adalah kerajaan perlu menilai semula akan langkah pengenalan caj untuk lesen ini, adakah ia sesuai atau tidak, pada kami sebagai deejay dan pengusaha sistem audio memang ia tidak sesuai," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Sinar Harian ketika ditemui di pejabat Pertubuhan Kumpulan Professional DJ Entertainment.

Katanya, dalam soal ini, pihak berkaitan perlu faham akan nasib golongan deejay.

"Kita kena lihat secara keseluruhan bukan secara rambang, tambahan pula sekarang ini kos meningkat, pendapatan yang diterima deejay ini bukan semuanya banyak, paling tidak pun kadang-kadang bawah RM500, sedangkan lesen kena bayar RM600.

"Ia akan mengurangkan perkhidmatan deejay, sebab kadar yang dikenakan, jadi kita harap janganlah terus menerus berbuat sebegini, perlu diteliti sebelum ia dilaksanakan secara menyeluruh," katanya.

[ARTIKEL BERKAITAN: 'Upah deejay RM350, tapi caj lesen RM600']

Sekiranya di tempat komersial atau besar misalnya hotel sahaja dikenakan caj, ia pun sesuatu yang tidak adil.

"Majlis perkahwinan ini, hanya diadakan sehari sahaja, bukan berhari-hari, dan satu kita perlu ingat, tak semua yang buat majlis di hotel ini mereka yang berada, ada yang sekadar biasa-biasa, dan masa kini pun pihak hotel banyak yang ada promosi majlis, jadi tak hairanlah.

"Stigma yang mengatakan buat majlis perkahwinan di hotel adalah golongan kaya perlu dikikis, dan jangan disebabkan stigma itu caj lesen muzik ini dikenakan, ia sesuatu yang tidak munasabah sebenarnya," katanya.

Tambahnya, apa yang perlu adalah pihak berkaitan perlu mengadakan dialog serta perjumpaan secara langsung dengan deejay serta pengusaha sistem audio ini.

"Kita celaru dengan undang-undang yang ada, adakah ia meliputi semua, masyarakat sendiri pun tidak tahu, jadi ia perlu bersemuka, pihak berkaitan dapat menerangkan mengenai perkara ini.

"Saya harap satu titik pertemuan dapat diadakan dalam secepat mungkin, bagi mendapat tuntas dan penyelesaian akan perkara ini," katanya.

Jelasnya, pihaknya berharap agar pihak berkaitan dapat meneliti kembali Akta Hakcipta 1987.

"Kita minta pihak berkenaan lihat semula kaedah muat turun muzik secara haram atau karya muzik yang diciplak.

"Bagi saya tindakan berkenaan dirasakan lebih bermanfaat berbanding menekan mana-mana pihak dengan mengenakan lesen muzik sebanyak RM600 untuk semua majlis kenduri dan keraian itu," katanya.

Terdahulu, Persatuan Pengguna Kedah (Cake) sebelum menyifatkan tindakan mengenakan lesen muzik sebanyak RM600 untuk majlis kenduri dan keraian adalah agak keterlaluan.

Setiausaha Cake, Mohamad Yusrizal Yusoff berkata, pihaknya menganggap kutipan lesen muzik RM600 ada melampau, sekaligus tertanya-tanya apa manfaat lesen ia dikenakan caj sedemikian.

Yusrizal berkata, terdapat banyak majlis kenduri dan keraian yang diadakan di Kedah tak kira sama kawasan kampung ataupun bandar, yang rata-ratanya menggunakan akan khidmat deejay bagi memeriahkan majlis mereka.


Dapatkan informasi dan statistik terkini penularan wabak Covid-19 di Malaysia di sini: https://info.sinarharian.com.my/koronavirus

Newsletter

Berita Telus & Tulus hanya untuk anda setiap hari. Langgan Sekarang!